-->

SARAPAN BAIK UNTUK MINDA..

SARAPAN yang baik akan menyediakan tenaga segera untuk sel-sel otak berfungsi pada waktu pagi. Ia juga mengelakkan tubuh menjadi lesu.
Sebaliknya, ramai yang memilih makanan atau snek yang kurang berkhasiat dan berkalori tinggi untuk bersarapan. Sesetengah orang percaya mereka boleh menggantikan sarapan pagi yang tertinggal dengan mengambil kuantiti yang banyak pada waktu makan tengah hari.

Malah ada juga yang berpendapat mereka boleh mengurangkan berat badan dengan meninggalkan sarapan pagi. Hakikatnya tanpa disedari mereka boleh mengekalkan berat badan dengan amalan sarapan pagi yang kaya protein dan serat.
Contoh kombinasi sarapan yang berkhasiat ialah telur rebus, sebiji buah oren dan semangkuk bijirin. Bersarapan dengan susu rendah lemak atau sekeping roti penuh bijirin dengan mentega kacang, potongan lobak merah dan yogurt rendah lemak juga antara amalan yang sihat,
Secara umum, wanita Malaysia yakin dan prihatin dengan kepentingan mengalas perut dengan sarapan pagi yang berkhasiat untuk diri dan keluarga.
Meskipun sebahagian besar wanita bandar terdiri daripada mereka yang bekerja, namun kesibukan mengimbangkan masa antara urusan tugas, rumah dan keluarga bukan alasan mengabaikan sarapan.
Rumusan tersebut dibuat berdasarkan tinjauan ke atas sepuluh orang wanita yang bekerja sama ada bujang atau sudah berkahwin. Mereka berumur di antara 27 hingga 33 tahun dan menetap di sekitar Kuala Lumpur.
Alternatif mudah
Sarapan pagi yang disediakan sendiri lebih berkhasiat berbanding membelinya. Bagi yang ingin melawan kesibukan pada waktu pagi, roti dan susu adalah pilihan ideal yang paling ringkas.
Sesekali pada hari minggu, Hartini Yahya akan menunaikan permintaan anak-anaknya untuk bersarapan di luar, sekali gus dapat bermesra dengan keluarga serta menghilangkan tekanan.
Menurut seorang ibu kepada dua anak kecil, melihat anak gembira memang cukup berbaloi asalkan mereka makan sarapan.
Tetapi pada hari lain, Penolong Setiausaha di Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air itu akan memastikan anaknya dibekalkan dengan sarapan yang dimasak sendiri.

Kesibukan sebagai pegawai perubatan tidak menghalang seorang lagi ibu muda untuk menekankan kepentingan sarapan kepada anaknya yang berusia tujuh dan empat tahun sebelum ke sekolah.
Dr. Rohaya Abdul Razak akan memastikan ahli keluarganya bersarapan dengan makanan yang disediakan di rumah seperti bijirin dengan susu, telur atau bihun goreng.
Bagaimanapun, beliau sama sekali tidak akan membawa anaknya ke restoran makanan segera untuk bersarapan kerana menganggap makanan segera mempunyai kandungan lemak yang terlalu tinggi.
Rakannya, seorang pengurus syarikat telekomunikasi, Shakila Imran juga enggan membenarkan anak-anaknya makan makanan segera yang disifatkan terlalu berminyak dan tiada sayur-sayuran.
Beliau menolak untuk menjadikan makanan segera sebagai hadiah atau insentif kepada anak-anaknya. Sebaliknya Shakila lebih gemar memasak sendiri jika anak-anaknya meminta makanan segera seperti kentang goreng termasuk hash brown, burger dan nugget.
Anak Shakila telah terbiasa dengan rutin menghabiskan susu yang disediakan setiap pagi sebelum ke sekolah atau tadika.
Ia cukup mengenyangkan mereka sehingga waktu rehat sekali gus menyediakan makanan seimbang yang penting sebagai permulaan hari yang baik.
Jika teringin untuk bersarapan di luar pada hujung minggu, Shakila lebih selesa memilih kedai biasa seperti kedai mamak untuk menjamu makanan seperti tose atau capati yang kurang berminyak.
Perkembangan minda
Khasiat daripada sarapan telah terbukti memainkan peranan penting dalam membantu perkembangan minda dan sahsiah manusia terutama bagi kanak-kanak.
Satu daripada kajian yang menyentuh isu tersebut ialah Relationship Between Hunger and Psychosocial Functioning in Low-Income American Children yang disiar dalam Journal of the American Academy of Child and Adolescent Psychiatry pada Februari 1998.
Ia membuktikan bahawa pelajar sekolah yang bersarapan setiap pagi mendapat keputusan yang lebih baik dalam ujian standard, bersikap lebih sopan dan kurang hiperaktif berbanding pelajar-pelajar yang tidak bersarapan.
Bagaimanapun, sarapan yang manis seperti bijirin yang bergula, penkek dan sirap maple biskut cip coklat perlu dielakkan kerana ia akan menyebabkan mereka cepat lapar, mudah meragam dan makan lebih banyak pada waktu tengah hari.
Sama seperti kanak-kanak, pelajar dan orang dewasa juga menunjukkan prestasi yang lebih baik dalam akademik dan kerja jika mereka memulakan hari dengan bersarapan. - Bernama

FALSAFAH PENDIDIKAN NEGARA

" Pendidikan di Malaysia adalah satu usaha berterusan ke arah memperkembangankan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi, dan jasmani berdasarkan kepada kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara."

MUTIARA KATA

" Orang yang bahagia itu akan selalu menyediakan waktu untuk membaca kerana membaca itu sumber hikmah menyediakan waktu tertawa kerana tertawa itu muziknya jiwa, menyediakan waktu untuk berfikir kerana berfikir itu pokok kemajuan,menyediakan waktu untuk beramal kerana beramal itu pangkal kejayaan, menyediakan waktu untuk bersenda kerana bersenda itu akan membuat muda selaludan menyediakan waktu beribadat kerana beribadat itu adalah ibu dari segala ketenangan jiwa."

DENGAR ALQURAN

FALSAFAH PENDIDIKAN ISLAM

" Pendidikan Islam adalah satu usaha berterusan untuk menyampaikan ilmu, kemahiran dan penghayatan Islam berdasarkan Al-Quran dan As-Sunnah bagi membentuk sikap, kemahiran, keperibadian dan pandangan hidup sebagai hamba Allah yang mempunyai tanggungjawab untuk membangun diri, masyarakat, alam sekitar dan negara ke arah mencapai kebaikan di dunia dan kesejahteraan abadi di akhirat."

Followers

SEMAK PRODUK HALAL

TETAMU KAMI

PENAFIAN

© 2010 BLOG J-QAF SK KUALA KURAU, Hakcipta Terpelihara. Semua tulisan, pendapat, komen dan foto yang ada di blog ini adalah kepunyaan J-QAF SK KUALA KURAU melainkan dinyatakan sebaliknya. PIHAK JQAF SK KUALA KURAU tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang kehilangan atau kerosakan yang diakibatkan oleh penggunaan maklumat yang diperolehi daripada blog ini.

© 2010 BLOG J-QAF SK KUALA KURAU, Hakcipta Terpelihara. The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP