-->

PELUANG MENYEMAK ARAH KIBLAT ( 28 MEI 2010 )


Pada 28 Mei 2010 (jumaat) semua umat Islam di Malaysia berperluang menyemak arah kiblat di rumah sendiri, masjid, surau ataupun tempat - tempat solat yang lain.

ISTIWA 'AZAM


Istiwa 'Azam ini bermaksud fenomena apabila matahari berada tepat di titik zenit kaabah ketika melintasinya. Fenomena ini hanya berlaku 2 kali setahun iaitu :

1. Pada 28 Mei ( jam 5.16 petang )
2. Pada 16 Julai ( jam 5.28 petang )

Cumanya anda jangan keliru apabila isu semakan arah kiblat diwarwarkan, dengan andaian bahawa arah kiblat sentiasa berubah. Pendapat atau andaian sebegini adalah tidak benar sama sekali kerana Kaabah tidak pernah beralih, justeru kiblat tidak akan berubah.

Apa yang dimaksudkan dengan peluang menyemak arah kiblat adalah bagi mereka yang belum melakukannya atau mungkin untuk sekadar kajian. Bagi yang telah melakukannya sebelum ini, semakan semula adalah tidak perlu, kecuali atas sebab-sebab keraguan atau sebagainya. (contoh: pembinaan semula, pemasangan semula karpet dsb.)

KAEDAH PENYEMAKAN



1. Pacakkan satu tiang di kawasan yang hendak disemak arah kiblatnya sebagaimana di dalam gambarajah.

2. Pastikan tiang tersebut tegak dan lurus,
3. Tempat yang dipilih untuk menyemak arah kiblat hendaklah tempat yang tidak terlindung dari sinaran matahari,

4. Tepat pada masa yang telah ditetapkan, bayang yang ditunjukkan oleh tiang tegak berkenaan adalah bertentangan dengan arah kiblat. Oleh kerana matahari berada di langit barat, bayang tiang akan jatuh ke arah timur, maka arah kiblat ialah yang menghadap ke barat.


5. Selain dari tiang yang dipacakkan, kita juga boleh menggunakan tiang-tiang bendera, tiang-tiang lampu atau sisi-sisi rumah yang diyakini tegak dan lurus untuk menyemak arah kiblat.

* Umat Islam adalah disarankan agar memastikan jam yang digunapakai adalah tepat bagi kesempurnaan semakan.

BACA LAGI Read more...

DOSA KECIL DAN DOSA BESAR


Dosa bermaksud; “Setiap perkara yang menyalahi perintah Allah sama ada kerana meninggalkan apa yang disuruhNya atau melakukan apa yang ditegahNya”. Dosa kerana meninggalkan yang disuruh seperti dosa orang yang mengabaikan solat, tidak berpuasa, tidak mengeluarkan zakat, tidak menutup aurat dan sebagainya. Dosa kerana melakukan tegahan Allah seperti dosa berzina, minum arak, mencuri, mengumpat, menipu dan sebagainya.

Dosa mengikut takrifan di atas merangkumi semua jenis dosa sama dosa-dosa besar atau dosa-dosa kecil. Sebahagian ulamak tidak bersetuju dengan pembahagian dosa kepada besar dan kecil. Antara mereka ialah Abi Ishaq al-Isfaraini, Qadhi Abu Bakar al-Baqilani, Imam al-Haramaian dan Abi Nashr al-Qusyairi. Bagi mereka semua dosa dan larangan Allah adalah besar belaka sebagaimana Ibnu Abbas r.a. pernah berkata;

كُلُّ مَاْ نَهَى اللهُ عَنْهُ فَهُوَ كَبِيْرَةٌ
“Setiap yang dilarang/ditegah Allah adalah besar”. (Riwayat Imam at-Thabrani)

Namun mengikut pandangan majoriti ulamak, dosa terbahagi kepada dua iaitu dosa-dosa besar dan dosa-dosa kecil. Pandangan majoriti ulamak inilah yang menepati al-Quran dan hadis kerana Allah berfirman;


“Jika kamu menjauhi dosa-dosa besar di antara dosa-dosa yang dilarang kamu mengerjakannya, niscaya Kami hapuskan kesalahan-kesalahanmu (dosa-dosamu yang kecil) dan Kami masukkan kamu ke tempat yang mulia (surga)”. (An-Nisa’:31)

Rasulullah s.a.w. juga bersabda;

اَلصَّلَوَاْتُ الْخَمْسُ وَ الْجُمْعَةُ إِلَى الْجُمْعَةِ وَ رَمَضَاْنَ إِلَى رَمَضَاْنَ مُكَفِّرَاْتُ مَاْ بَيْنَهُنَّ إِذَا اجْتُنِبَتِ الْكَبَاْئِرُ
“Solat lima waktu, solat jumaat hingga jumaat berikutnya dan ramadhan hingga ramadhan berikutnya menjadi penebus dosa-dosa (kecil yang berlaku) di sela-sela waktu tersebut selama dijauhi dosa-dosa besar”. (Riwayat Imam Ahmad, Muslim dan Tarmizi dari Abi Hurairah r.a.)

Ayat al-Quran dan hadis di atas jelas menunjukkan kepada kita bahawa di sana ada dosa-dosa besar dan ada dosa-dosa kecil.

Apa maksud dosa besar? Menurut Ibnu ‘Abbas r.a., dosa-dosa besar ialah; “Dosa-dosa yang ditetapkan hukuman had ke atasnya di dunia dan diancam dengan azab di akhirat atau diancam dengan laknat Allah dan kemurkaanNya”. Menurut Imam al-Haramain pula, “Dosa besar ialah dosa yang menampakkan bahawa pelakunya seorang yang kurang menjaga agamanya dan amat longgar pegangannya dengan agama di mana dosa ini menghilangkan al-‘adalah (sifat adil) pada diri seseorang (yakni orang yang melakukannya akan dianggap sebagai fasiq)”.

Apa yang lebih mudah ialah kita menilai dosa-dosa besar berdasarkan tanda-tandanya. Menurut Imam Ibnu Solah; “Tanda-tanda dosa besar antaranya ialah:

1.Diwajibkan hukuman hudud ke atasnya seperti dosa berzina, minum arak, qazaf, mencuri dan sebagainya.

2.Di ancam ke atasnya dengan azab neraka atau sebagainya di dalam al-Quran atau as-Sunnah seperti dosa menyelewengkan harta anak yatim (rujuk surah an-Nisa’, ayat 10), dosa lari dari medan peperangan (rujuk; surah al-Anfal, ayat 16), tidak mengeluarkan zakat, tidak menunaikan solat, mengumpat, mengadu domba dan sebagainya.

3.Disifatkan orang-orang yang melakukannya sebagai fasiq.

4.Dilaknat orang-orang yang melakukannya seperti dosa makan riba, dosa rasuah, dosa lelaki yang meniru gaya perempuan atau sebaliknya dan sebagainya.

Adapun dosa-dosa kecil, ia adalah dosa-dosa di bawah tahap atau batasan dosa-dosa besar tadi. Contoh dosa kecil ialah; melihat kepada bukan mahram, suka berbalah atau bertengkar, kencing atau berak dengan mengadap ke arah kiblat atau membelakanginya, bercakap di dalam masjid dengan perkara-perkara dunia semata-mata dan sebagainya.

Namun harus diingat bahawa walaupun dinamakan dosa kecil, tetapi ia bukanlah perkara yang boleh dipandang mudah atau remeh kerana Rasulullah s.a.w. bersabda;

إِيَّاْكُمْ وَ مُحَقَّرَاتِ الذُّنُوْبِ فَإِنَّهُنَّ يَجْتَمِعْنَ عَلَى الرَّجُلِ حَتَّى يُهْلِكْنَهُ
“Awasilah kamu sekelian dari dosa-dosa yang kecil/remeh. Sesungguhnya ia akan berkumpul pada diri seseorang sehingga akan memusnahkannya (dengan menjatuhkannya ke dalam dosa besar)”. (Riwayat Imam Ahmad, at-Thabrani dan al-Baihaqi dari Abdullah bin Mas’ud r.a.)

Malah dosa kecil dalam keadaan-keadaan tertentu akan berpindah menjadi dosa besar. Imam al-Ghazali dalam kitabnya Ihya’ Ulumiddin telah menjelaskan enam sebab suatu dosa kecil akan berubah menjadi dosa besar, iaitu:
1.Berterus-terusan melakukannnya
2.Memandang remeh terhadap dosa yang dilakukan
3.Gembira, bangga dan seronok apabila dapat melakukan dosa sehingga ia merasakan bahawa ia dapat melakukan dosa itu merupakan suatu nikmat. Ia lupa bahawa dosa adalah penyebab kepada kecelakaan.
4.Memandang remeh apabila Allah menutup dosanya dan menangguhkan pembalasan terhadapnya.
5.Melakukan dosa dan kemudian menyebut-nyebutnya di hadapan orang lain, atau melakukan dosa berterang-terangan di hadapan orang lain tanpa rasa malu sedikitpun.
6.Orang yang melakukan dosa kecil itu adalah orang alim.

BACA LAGI Read more...

ADAB SEORANG MURID


1. Mendahulukan salam kepada guru dan bersalaman dengan bercium tangan sebagai tanda penghormatan- ikut jantina
2. Jangan banyak bercakap di hadapan guru
3. Jangan bercakap jikalau tidak ditanya
4. Jangan bertanya melainkan jikalau diarah oleh guru
5. Jangan menyangkal kata-kata guru
6. Jangan mengumpat pelajar lain
7. Jangan berbisik di hadapan guru
8. Jangan berpaling kiri dan kanan
9. Jangan menyoal semasa guru kepenatan
10. Berdiri apabila guru bangun
11 Dengar dengan khusyuk ilmu yang disampaikan walaupun diulang 1000 kali
12 Rujuk guru dalam memilih ilmu

13 Jangan duduk tempat guru
14. Jangan berjalan dihadapan guru kecuali darurat
15. Jangan ketuk pintu berulang kali hingga guru keluar menemuinya
16. Sentiasa mendapat keredhaannya dan jauhkan kemurkaannya
17. Muliakan anak-anak guru
18. Selalu berhubung dengan guru
19. Elakkan tidak menziarahi guru lebih 40 hari. Ini boleh mengurangkan keberkatan ilmu
20. Selalu mendoakan guru selepas setiap solat lima waktu.


Elakkan makan makanan
1. Jajan
2. Air atau makanan ada semut padanya
3. Makanan fast food seperti nuggets, burger, sosej
4. Makanan yang masam seperti jeruk
5. Otak ikan
6. Makanan yang berajinomoto
7. Makanan yang berbau busuk seperti- petai, jering dan bawang mentah
8. Air yang terlalu manis seperti air berkaibonat –air coke , pepsi,f&n

Kerap makan makanan
1. 21 kismis sehari ( 7 biji 3x sehari ) – sekurang-kurangnya 9 biji ( 3 biji 3 x sehari ) / 3 biji sekali
2. Air kacang soya sekali sehari
3. 2 biji kurma
4. 3 biji kacang pistachios sehari

BACA LAGI Read more...

Dosa-Dosa & Facebook


Semenjak empat bulan terlibat dalam menyampaikan mesej kebaikan, melarang kemungkaran melalui facebook. Disedari terdapat beberapa cara penggunaannya yang patut ditegah dan boleh jatuh perbuatan tersebut kepada haram, malah berganda-ganda haramnya.

Perlakuan dan perbuatan melalui facebook yang boleh mengundang dosa terlalu banyak, namun di kesempatan ini, cukup saya senaraikan enam perkara, iaitu :-

1) Mendedah keaiban suami, isteri di facebook.

Terdapat beberapa kes yang dilihat sama ada secara langsung atau tidak langsung, pemilik facebook meluahkan perasaan sedih, kecewa, benci, marah terhadap pasangan di ruang status mereka. Mendesak suami atau isteri juga melalui status facebook. Ada yang mendesak suami beli rumah, kereta, pinggan, perabot, baju, dan macam-macam lagi melalui status mereka. Kemudian, status tersebut mendapat komentar pelbagai dari rakan-rakan mereka. Tertekanlah suami serba salah.


Sebagaimana yang disebut oleh ramai specialist di dalam bidang rumah tangga, kebanyakan wanita suka berkongsi dan meluahkan perasaan mereka kepada orang lain sebagai pelepas kepada beban yang ditanggung. Adakalanya ia mungkin bukan bertujuan untuk menjatuhkan suaminya, bukan pula untuk tujuan membuka aib suami atau untuk mencari penyelesaian. Pendedahan itu hanya sebagai pelepas tekanan di dalam diri.



Namun, tanpa disedari perbuatan tersebut tergolong dalam mengumpat yang diharamkan oleh Islam. Semua perlu memahami bahawa mereka tidak boleh sewenangnya bercerita perihal rumahtangga atau pasangan mereka secara terbuka sama ada melalui facebook atau kepada rakan di pejabat dan sebagainya. Sebarang masalah yang sudah tidak dapat diselesaikan olehnya, hanya dibenarkan untuk diluahkan kepada seseorang yang diyakini punyai autoriti seperti ibubapa, mertua dan adik beradik yang diyakini boleh berperanan membantu, bukan berpotensi mengeruhkan lagi keadaan. Boleh juga dikongsikan secara tertutup kepada pihak ketiga seperti Qadhi, Mufti, para ilmuan sama ada Ustaz, Ustazah atau Kaunselor Rumahtangga.
Pendedahan masalah dan info yang boleh mengaibkan suami (dan isteri) TIDAK DIBENARKAN sama sekali disebarkan melalui facebook. Apabila ia dilakukan, ia dengan mudah sekali boleh mengundang dosa.

Terdapat sebahagiannya info tidak secara langsung mengaibkan pasangan, tetapi selaku pembaca, kita dapat ‘membaca' dan mengetahui secara tersirat bahawa si pemilik sedang ‘perang dingin' dengan pasangannya. Ada juga yang difahami, suaminya sedang gagal memenuhi apa yang diingininya, bersifat kurang baik kepadanya dan sebagainya. Ingatlah semua, rumahtangga adalah amanah, jangan meruntuhkannya melalui facebook.

Beramanahlah, berikan suami dan isteri anda password facebook anda, agar mereka sentiasa boleh meneliti mesej-mesej yang dihantar kepada anda. Boleh juga pasangan berperanan selaku penyemak dan memadam (delete) mana yang perlu jika dimasukkan secara emosi tanpa pertimbangan aqal yang wajar.

2) Terlebih gambar

Ramai di kalangan wanita hari ini sudah mempunyai facebook, mungkin sudah menjadi lumrah wanita yang biasanya inginkan kecantikan dan pujian terhadap kecantikannya. Oleh itu, semakin ramai wanita yang memuatkan gambar mereka, sama ada jarak dekat, sangat dekat ( sehingga memenuhi ruang kotak gambar) dan jauh (beramai-ramai atau seorang diri). Ditambah pula lagi dengan gaya, aksi dan fesyen yang pelbagai.
Agak pelik juga kerana sebahagian mereka sudah bersuami dan kelihatan suami mereka memberikan sepenuh keredhaan atas tayangan gambar sedemikian kepada khalayak, tanpa sebarang rasa cemburu dan prihatin. Lebih merbahayakan, ramai pula lelaki yang menontonnya, sebahagiannya memberikan pujian, malah ada yang berani bergurau senda, dan membuat ‘lamaran' nafsu.



Lebih pelik, tuan punya facebook yang sepatutnya mampu mengawal dan memadam sebarang komen kurang etika, kelihatan membiarkan sahaja lamaran nafsu (seperti ajakan dating, kahwin - padahal wanita telah bersuami) tersebut di ruangan komentar gambarnya, tanpa rasa bersalah.



Berterusan bercanda mereka melalui ruang komentar, si lelaki dan wanita ada juga yang telah beristeri dan bersuami, cuma atas tiket kawan lama, sepejabat dan sebagainya, hal tersebut dibiarkan. Malah jika kedua-duanya masih bujang sekalipun, ia tetap BERDOSA dan SALAH di sisi Islam kerana ia termasuk dalam kategori larangan Allah ‘janganlah kamu menghampiri zina'.



Saya bimbang, ramai pula lelaki yang menjadi dayus dek kerana gambar isteri terdedah aurat ( atau menutup aurat kurang sempurna) ditayang sehabisnya di facebook. Baca perihal ciri lelaki dayus di sin ( http://www.zaharuddin.net/index.php?option=com_content&task=view&id=546&Itemid=99)
3) Penyamaran

Lelaki menyamar sebagai wanita untuk menjadi friend dan seterusnya mendapat maklumat wanita. Ada dilaporkan juga, sebahagian lelaki berang kerana tidak diluluskan menjadi ‘friend' seseorang wanita. Akibatnya, si lelaki tidak mendapat kemudahan akses kepada gambar-gambar wanita tersebut. Bagi membolehkannya mendapat akses, terdapat lelaki yang mula menyamar menjadi wanita, meletakkan gambar mana-mana wanita yang boleh dijumpai secara mudah tertebaran di internet, diletakkan sebagai dirinya. Melalui cara itu, lelaki ini berjaya menjadi friend dan menonton seluruh gambar wanita terbabit dan berbuat apa yang disukainya dengan gambar itu.



Si wanita yang pada asalnya merasa selamat kerana merasakan dirinya telah menapis sebaiknya, rupanya masih terdedah gambarnya kepada yang orang yang tidak sepatutnya. Kerana itu, walau anda hanya membenarkan friend untuk menatapi gambar anda, pastikan semua gambar tersebut masih terhad dan terjaga.



4) Download gambar untuk simpanan dan tatapan.

Dimaklumkan juga, akibat dek kerana gambar wanita yang terlalu ‘bersepah' difacebook, terdapat lelaki berhati buas yang memuat turun gambar tersebut dan disimpan sebagai koleksi peribadinya. Justeru, sedarlah, mana-mana wanita yang dikurniakan Allah punyai ‘rupa' yang menurut pandangan ramai sebagai elok dan menawan. Golongan sebegini amat perlu sekali lebih berwaspada lebih daripada mereka yang lain.

Malangnya, golongan rupawan ini kelihatan lebih ghairah menjaja gambar mereka untuk mendapat lebih banyak pujian dan ...'DOSA'. Simpan sahajalah gambar-gambar 'kiut' (cute) anda, cukuplah ia buat tatapan suami. Cukuplah pujian rakan sekeliling yang benar-benar mengenali anda. Tidak perlulah tamakkan pujian manusia luar.

Tunggu sahajalah pujian para malaikat dan bidadari di Syurga nanti, terlampau tidak sabarkah wahai diri? Sedarilah, ke'kiut'an anda mungkin menjadikan sebuah rumahtangga hancur, kecemburuan wanita lain, kerana boleh wujud gejala suami yang membanding-bandingkan wajah dan tubuh anda dengan isterinya. Jika itu berlaku, pemilik gambar mendapat dosa.
5) Tagging gambar tanpa izin dan gambar silam yang membuka aurat.

Tagging atau menandakan sesuatu gambar yang disiar merupakan satu fungsi mudah untuk menyebarluaskan gambar seseorang termasuk diri sendiri kepada kenalan dan rakan. Malangnya fungsi ini menjadi sumber dosa yang banyak juga dewasa ini. Isu ini juga telah pernah diulas oleh beberapa penulis lain seperti Sdr Shahmuzir dan Ust Abu Umair.



Ini adalah kerana, terdapat ‘trend' menyebarkan gambar-gambar lama, dan kemudian meletakkan tagging kepada individu di dalam gambar. Perlu disedari, setiap gambar yang di'tag', akan muncul dan boleh dilihat oleh semua friend punya rakan (friend).



Ini boleh menjadi dosa, kerana :-



a- Sebahagian individu di dalam gambar terbabit mungkin dahulu tidak menutup aurat, tetapi kini telah menutup aurat. Justeru penyebaran gambarnya yang tidak menutup aurat adalah haram.

b- Individu terbabit berada di dalam rumah, bersama keluarga, justeru penutupan auratnya tidak begitu sempurna kerana di dalam rumah sendiri atau di dalam keadaan ‘candid', tetapi akibat ketidakperihatinan sebahagian ahli keluarga terhadap hal aurat. Gambarnya yang sedemikian tersebar. Sepatutnya, kita yang di'tanda' boleh dengan segera delete 'tag' itu, hasilnya walau gambar masih tersiar tetapi ia tidak mempunyai sebarang pengenalan. Itu paling kurang boleh dilakukan oleh individu yang prihatin dan berawas-awas. Namun malangnya, sebahagian pemilik facebook tidak sedar mereka boleh ‘untagged' nama mereka. Malah kalau mereka boleh untagged sekalipun, penyebaran gambar sedemikian tetap salah dan berDOSA di dalam Islam.

c- Gambar mengaibkan orang lain. Gambar yang disiarkan itu, walaupun menutup aurat, tetapi dalam situasi mengaibkan. Mungkin ia tidak mengaibkan individu yang menyiarkannya kerana dia dalam keadaan baik dan bagus. Namun rakannya berada dalam situasi mengaibkan, tambahan pula dia kini merupakan ‘seseorang' yang terhormat, punyai kedudukan baik di mata masyarakat,. Apabila gambar sedemikian disiarkan, ia mencemar nama baiknya. Penyiaran sebegitu sama seperti mengutuknya secara langsung di khalayak ramai, sama ada sengaja atau tidak, semua perlu sedar..anda mungkin bebas menyiarkan gambar anda, namun gambar orang lain. Keizinan perlu diperolehi terlebih dahulu sebelum siaran dibuat.
6. Mengutuk diri sendiri & kebaikan



Adakalanya terdapat juga wanita-wanita berpenampilan cukup solehah, berpakaian extra caution dalam bab aurat sewaktu zaman universiti atau sekolahnya. Namun sesudah masuk ke alam pekerjaan dan perkahwinan, imejnya berubah begitu drastik dengan make up cukup jelas menghiasi wajah, baju bekerlipan warnanya, yang tebal dahulu sudah jadi nipis, adakalanya tidak sempurna dan macam-macam lagi. Alasannya? Seribu satu macam. Suami pula mungkin bukan dari jenis yang cermat untuk menegur dan menasihat.



Yang menyedihkan, apabila tersiar gambar lamanya yang berpakaian extra caution lagi sopan di facebook, disiarkan oleh rakan-rakan lama. Tuan punya tubuh, kelihatan tanpa malu dan segan mengutuk dirinya sendiri sama ada secara langsung atau tidak langsung. Lahirlah kata-kata, ‘zaman aku ekstrem', ‘zaman solehah', ‘waktu innocent', zaman-zaman suci', 'itu zaman kuno dulu', 'itu masa duduk bawah tempurung' dan lain-lain frasa yang sepertinya.



Tanpa disedarinya, ia mendedahkan keaiban dirinya sendiri, apabila berkata zaman solehah, bermakna kini adakah dia mengaku tidak lagi solehah, tidak suci dan sebagainya?. Demikian juga ayat-ayat lain di atas.? Ia juga sekaligus seolah mengutuk pemakaian sopan dirinya dahulu. Ingatlah wahai diri, jika tidak mampu istiqamah atas pakaian dan penampilan dahulu, janganlah sampai mengutuknya. Kerana ia sama seperti mengutuk pakaian yang sopan lagi baik, seolah mendahulukan yang kurang baik.

KESIMPULAN

Itulah facebook, ia boleh menjadi sumber pahala, jika diguna dengan betul, boleh menjadi pemudah azab jika digunakan tanpa ilmu dan limitasi. Berhati-hatilah dan berpada-padalah pemilik facebook.

Niat untuk mendekatkan ukhuwwah antara rakan lama, sekolah dan sebagainya tidak sama sekali boleh menghalalkan sembangan mesra, gurauan senda di antara suami dan isteri orang, antara lelaki dan wanita yang bukan mahram. Ia hanya akan membawa kepada kemudaratan dan keruntuhan rumahtangga. Janganlah lagi mempermainkan nama'ukhuwah' untuk berbuat dosa.

Ukhuwwah itu hanya terhad sesuatu yang membawa kepada ingatan kepada Allah, mengajak kebaikan dan menjauh kemungkaran. Lihatlah surah al-Hujurat dan fahamkan kalam Allah sebaiknya akan erti ukhuwwah di kalangan mukmin.

Sekian



Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net

ORIGINAL ARTICLE : http://www.zaharuddin.net/content/view/930/72/

BACA LAGI Read more...

FALSAFAH PENDIDIKAN NEGARA

" Pendidikan di Malaysia adalah satu usaha berterusan ke arah memperkembangankan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi, dan jasmani berdasarkan kepada kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara."

MUTIARA KATA

" Orang yang bahagia itu akan selalu menyediakan waktu untuk membaca kerana membaca itu sumber hikmah menyediakan waktu tertawa kerana tertawa itu muziknya jiwa, menyediakan waktu untuk berfikir kerana berfikir itu pokok kemajuan,menyediakan waktu untuk beramal kerana beramal itu pangkal kejayaan, menyediakan waktu untuk bersenda kerana bersenda itu akan membuat muda selaludan menyediakan waktu beribadat kerana beribadat itu adalah ibu dari segala ketenangan jiwa."

DENGAR ALQURAN

FALSAFAH PENDIDIKAN ISLAM

" Pendidikan Islam adalah satu usaha berterusan untuk menyampaikan ilmu, kemahiran dan penghayatan Islam berdasarkan Al-Quran dan As-Sunnah bagi membentuk sikap, kemahiran, keperibadian dan pandangan hidup sebagai hamba Allah yang mempunyai tanggungjawab untuk membangun diri, masyarakat, alam sekitar dan negara ke arah mencapai kebaikan di dunia dan kesejahteraan abadi di akhirat."

Followers

SEMAK PRODUK HALAL

TETAMU KAMI

PENAFIAN

© 2010 BLOG J-QAF SK KUALA KURAU, Hakcipta Terpelihara. Semua tulisan, pendapat, komen dan foto yang ada di blog ini adalah kepunyaan J-QAF SK KUALA KURAU melainkan dinyatakan sebaliknya. PIHAK JQAF SK KUALA KURAU tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang kehilangan atau kerosakan yang diakibatkan oleh penggunaan maklumat yang diperolehi daripada blog ini.

© 2010 BLOG J-QAF SK KUALA KURAU, Hakcipta Terpelihara. The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP