-->

PERANAN GURU, MURABBI, MURSYID, MU'ADIB....



29. Dan (ketahuilah) Wahai kaumku! Aku tidak meminta kepada kamu sebarang harta benda sebagai upah menyampaikan ugama Allah itu, tiadalah Aku harapkan upahku melainkan dari Allah semata-mata; dan Aku tidak akan menghalau orang-orang Yang beriman (sebagaimana Yang kamu minta itu), kerana Sesungguhnya mereka akan menemui Tuhan mereka (dan pada hari itu mereka akan menuntut dan menerima hak masing-masing); tetapi Aku nampak kamu semua, kaum Yang tidak mengetahui apa Yang mesti diketahui.(Huud :11 :29)

Mu’alim berasal dari perkataan Arab yang bererti guru. Ia juga bermaksud pengajar yang mencurahkan ilmu pengetahuan untuk anak didiknya. Seorang mu’allim lebih menumpukan kepada ilmu akal.Sebagai guru yang bersifat mu’allim, isi kandungan pendidikan perlu disampaikan berserta ilmu yang berkaitan dengan nilai-nilai murni dalam proses melahirkan insan bermoral.

Murabbi dalam Islam membawa maksud yang lebih luas melebihi tahap mu’allim. Konsep Murabbi merujuk kepada pendidik yang bukan sahaja mengajarkan sesuatu ilmu tetapi dalam masa yang sama cuba mendidik rohani, jasmani, fizikal dan mental anak didiknya untuk menghayati dan mengamalkan ilmu yang telah dipelajari. Guru murabbi lebih menumpukan penghayatan sesuatu ilmu, sekali gus membentuk keperibadian, sikap dan tabiat anak didiknya. Tugas murabbi lebih berlegar di hati. Spiritual Quotient (SQ) dapat dibentuk di dalam diri murid-murid kerana pengajaran berbentuk nilai murni ini boleh diperkukuhkan dengan memberi kesedaran, keyakinan dan juga melalui amalan.

Mudarris adalah pengajar yang selari dengan perkataan guru. Peranan guru adalah untuk memperkembangkan kemahiran dalaman dan luaran murid-murid. Guru boleh membantu murid-murid untuk hal-hal yang tidak mereka ketahui dan faham. Sikap peribadi dan penampilan diri memerlukan kemahiran untuk dikuasai oleh murid-murid.

Mu’addib (Ta’dib) berasal dari perkataan adab iaitu bererti budi pekerti. Mu’addib juga membawa maksud yang hampir kepada istilah mentor. Mu’addib adalah pemupuk adab, akhlak, nilai atau proses pembentukan disiplin dan sikap murid bagi membentuk sahsiah. Peranan mu’addib adalah menyiapkan mu’addab yang dapat melaksanakan pekerjaan-pekerjaan berat yang diletakkan di atas bahu mereka pada masa hadapan. Guru mu’addib bukan sahaja perlu mengajar nilai-nilai murni tetapi mesti mengamalkan nilai-nilai murni tersebut. Mu’addib mempunyai budi pekerti yang tinggi, membina kecergasan akal dan jasmani selaras dengan Falsafah Pendidikan Negara yang menitik beratkan potensi insan berakhlak mulia dan seimbang.

Mursyid bermaksud seseorang yang pakar dalam memberi tunjuk ajar terutamanya dalam bidang kerohanian. Mursyid secara istilahnya merupakan mereka yang bertanggungjawab memimpin dan membimbing perjalanan rohani murid untuk sampai kepada Allah S.W.T dalam proses tarbiah yang teratur. Mursyid bertanggungjawab untuk mengajar dari sudut zahir (syariat) dan makna (batin). Tugas membentuk kepimpinan insan merupakan tugas yang berat dan perlu dilaksanakan oleh guru.



11. Wahai orang-orang Yang beriman! apabila diminta kepada kamu memberi lapang dari tempat duduk kamu (untuk orang lain) maka lapangkanlah seboleh-bolehnya supaya Allah melapangkan (segala halnya) untuk kamu. dan apabila diminta kamu bangun maka bangunlah, supaya Allah meninggikan darjat orang-orang Yang beriman di antara kamu, dan orang-orang Yang diberi ilmu pengetahuan ugama (dari kalangan kamu) - beberapa darjat. dan (ingatlah), Allah Maha mendalam pengetahuannya tentang apa Yang kamu lakukan.
(Al-Mujaadalah: Ayat 11)

BACA LAGI Read more...

OTOT PUNCA SAKIT BELAKANG



TAHUKAH anda empat daripada lima orang di dunia menderita sakit belakang sekurang-kurangnya sekali seumur hidup mereka?

Apabila membeli barang di pasar raya, ramai pelanggan mengangkat barang secara membongkokkan badan, padahal mereka sepatutnya membengkokkan kaki bagi gerak
mengusung yang diperlukan.

Bagi pekerja kolar putih pula, mereka duduk di meja dan menghadap komputer masing-masing selama berjam-jam. Setelah penat bekerja dan pulang ke rumah ada yang terlena di atas sofa ketika menonton televisyen.

Adakah senario yang digambarkan di atas menyamai rutin harian kehidupan anda? Kini semakin banyak iklan tentang pil, plaster, balm dan ubat sakit belakang. Semua itu adalah bukti bahawa insiden sakit belakang bahagian bawah (LBP) semakin meningkat.

Tulang belakang yang juga dipanggil tulang spina sebenarnya satu rangkaian tulang vertebra yang membentuk belakang seseorang. Ia terbahagi kepada tiga bahagian iaitu servikal, torasik dan lumbar.

Memberi fleksibiliti

Bahagian servikal mempunyai tujuh tulang vertebra yang menyambungkan tengkorak kepada tulang belakang. Ia juga membentuk struktur leher selain memberi ruang untuk leher berpusing ke kiri atau kanan.

Bahagian torasik pula adalah bahagian tulang belakang yang mempunyai paling banyak vertebra iaitu 12. Vertebra itu terletak di bahagian dada dan bercantum dengan tulang rusuk yang melindungi organ-organ penting seperti paru-paru dan jantung.

Bahagian lumbar biasanya mempunyai lima atau enam vertebra. Bahagian itu adalah bahagian tulang belakang terkuat kerana ia menyokong berat badan. Ia juga bersambung dengan tulang pelvis.

Keseluruhannya, vertebra berfungsi melindungi kordus spinal dan saraf yang berkaitan. Kordus spinal adalah sekumpulan saraf tunjang yang panjang dan sel-sel sokongan yang bersambung dengan otak lalu menjadikan sistem saraf pusat.

Fungsi lain vertebra tulang belakang ialah memberi fleksibiliti kepada pergerakan badan dan anggota, menyokong kerangka badan selain mengimbangi berat badan ketika berjalan atau berdiri. Kebanyakan LBP berpunca daripada otot. Badan memerlukan otot yang kuat bagi memastikan postur yang betul. Di seluruh dunia, perubahan dalam gaya hidup memberi impak dan kesan terhadap kesihatan termasuklah LBP.

Di negara maju dan sedang membangun, masyarakat lebih cenderung meluangkan banyak masa dengan bekerja. Faktor itu dikenal pasti sebagai antara sebab mengapa mereka yang bekerja lebih cenderung mengalami LBP. Menurut Dr. Barry Kluner: "Banyak kes LBP tersilap diagnosis atau diberikan rawatan yang tidak sepatutnya dan ini menyebabkan kesakitan yang berulang".
"LBP boleh terjadi pada mana-mana peringkat umur. Ia juga lebih prevalen di kalangan remaja dan anak kecil", kata Dr. Kluner yang juga pakar tulang belakang.

Menyentuh mengenai rawatan LBP, Dr. Kluner berkata, terdapat beberapa cara konservatif seperti berehat, ubat tahan sakit, manipulasi tulang spinal, ubat relaksasi otot, fisioterapi dan mengurut untuk mengurangkan kesakitan tersebut.

Bagaimanapun, kaedah itu kurang berkesan. Kebanyakan LBP yang berpunca daripada otot boleh pulih dalam masa beberapa minggu jika didiagnosis dengan tepat.

Alat sokongan

LBP akut memerlukan tempoh pemulihan yang lebih lama. Kesakitan berulang dapat dihalang jika punca sebenar LBP diketahui. Kebanyakan aktiviti seperti bekerja, makan dan menonton televisyen dilakukan secara duduk. Menggunakan postur badan yang betul ketika melakukan aktiviti penting bagi menghindari LBP atau kesakitan lain.

Menggunakan alat sokongan yang menghalang tulang pelvik daripada senget boleh membantu mengurangkan risiko LBP. BackJoy Orthotics dari Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini melancarkan produk ortotik mudah alih pada Pameran Perubatan dan Farmaseutikal Asia Tenggara ke-14 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Tanpa menggunakan pil atau preskripsi, pesakit hanya duduk di atas alat tersebut. Ia boleh membantu memulihkan jajaran tulang belakang dan mengimbangi postur sekali gus menghalang berlakunya LBP.

Menurut Bing Howestein, Pengarah Backjoy Orthotics: "BackJoy menyediakan sistem rawatan sendiri." Produk itu sesuai digunakan oleh pesakit pelbagai peringkat umur dan ia boleh didapati di farmasi Vita Care dan stor Babyland.

Di AS kos perawatan bagi masalah LBP dianggar berjumlah AS$30 juta (RM90 juta) setahun.
Kerugian masa bekerja, pengurangan produktiviti serta had dan sekatan dalam aktiviti harian adalah antara kemudaratan yang disebabkan LBP. Masalah itu menyebabkan badan dan organisasi tidak dapat mengoptimum produktiviti.

Masyarakat Malaysia perlu sedar betapa pentingnya mempunyai tulang spina yang sihat dan pencegahan adalah lebih lebih baik daripada rawatan. - Bernama


BACA LAGI Read more...

MOHON MYKAD SECARA ONLINE



Orang ramai yang ingin memohon gantian MyKad kini boleh melakukannya secara dalam talian melalui portal rasmi Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), kata Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Wira Abu Seman Yusop.

Menurutnya perkhidmatan itu memberi alternatif kepada orang ramai untuk mendapatkan gantian MyKad tanpa perlu ke kaunter sekaligus mengurangkan kesesakan di ibu pejabat JPN atau cawangannya.

"Tiga jenis permohonan gantian MyKad yang boleh dilakukan ialah gantian MyKad disebabkan cip dan kad rosak, gantian MyKad biasa dan gantian MyKad hilang yang tidak melebihi lima kali," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2010 kepada 341 kakitangan JPN di Putrajaya hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah JPN Datuk Alwi Ibrahim.

Abu Seman berkata bayaran permohonan secara dalam talian boleh dilakukan dengan menggunakan kad kredit Visa dan Master Card, manakala pembayaran melalui e-Banking akan dilaksanakan pada masa akan datang.

Beliau berkata pemohon boleh memohon gantian MyKad melalui portal JPN pada 8 pagi hingga 11 malam pada Isnin hingga Jumaat, 8 pagi hingga 2 petang (Sabtu) dan 8 pagi hingga 9 malam pada Ahad.

Pemohon boleh menyemak status permohonan MyKad melalui portal JPN dan memilih pusat kutipan MyKad mengikut pilihan masing-masing, katanya.

Beliau berkata sehingga kini JPN menerima sebanyak 15 permohonan sejak diujicuba pada 15 April lepas termasuk satu permohonan daripada rakyat Malaysia di Australia.

Tempoh siap MyKad yang dipohon melalui talian adalah sama seperti permohonan biasa di kaunter iaitu 24 jam bagi pemohon yang memilih untuk menuntut MyKadnya di JPN Putrajaya, 10 hari bekerja bagi mana-mana pejabat cawangan JPN di Semenanjung serta 30 hari bekerja bagi mana-mana pejabat cawangan JPN di Sabah, Sarawak atau Labuan.

- Bernama

BACA LAGI Read more...

KEGELAPAN & GELOMBANG DI DASAR LAUT

"Atau seperti gelap gulita di lautan yang dalam, yang diliputi oleh ombak, yang di atasnya ombak (pula), di atasnya (lagi) awan; gelap gulita yang tindih-bertindih, apabila dia mengeluarkan tangannya, tiadalah dia dapat melihatnya, (dan) barangsiapa yang tiada diberi cahaya (petunjuk) oleh Allah tiadalah dia mempunyai cahaya sedikitpun." (Al Qur'an, 24:40)

Keadaan umum tentang lautan yang dalam dijelaskan dalam buku berjudul Oceans:
Kegelapan dalam lautan dan samudra yang dalam dijumpai pada kedalaman 200 meter atau lebih. Pada kedalaman ini, hampir tidak dijumpai cahaya. Di bawah kedalaman 1000 meter, tidak terdapat cahaya sama sekali. (Elder, Danny; and John Pernetta, 1991, Oceans, London, Mitchell Beazley Publishers, s. 27)
Kini, kita telah mengetahui tentang keadaan umum lautan tersebut, ciri-ciri makhluk hidup yang ada di dalamnya, kadar garamnya, serta jumlah air, luas permukaan dan kedalamannya. Kapal selam dan perangkat khusus yang dikembangkan menggunakan teknologi modern, memungkinkan para ilmuwan untuk mendapatkan informasi ini.
Manusia tak mampu menyelam pada kedalaman di bawah 40 meter tanpa bantuan peralatan khusus. Mereka tak mampu bertahan hidup di bagian samudra yang dalam nan gelap, seperti pada kedalaman 200 meter. Karena alasan inilah, para ilmuwan hanya baru-baru ini saja mampu menemukan informasi sangat rinci tersebut tentang kelautan. Namun, pernyataan "gelap gulita di lautan yang dalam" digunakan dalam surat An Nuur 1400 tahun lalu. Ini sudah pasti salah satu keajaiban Al Qur’an, sebab infomasi ini dinyatakan di saat belum ada perangkat yang memungkinkan manusia untuk menyelam di kedalaman samudra.
Selain itu, pernyataan di ayat ke-40 surat An Nuur "Atau seperti gelap gulita di lautan yang dalam, yang diliputi oleh ombak, yang di atasnya ombak (pula), di atasnya (lagi) awan…" mengarahkan perhatian kita pada satu keajaiban Al Qur’an yang lain.
Para ilmuwan baru-baru ini menemukan keberadaan gelombang di dasar lautan, yang "terjadi pada pertemuan antara lapisan-lapisan air laut yang memiliki kerapatan atau massa jenis yang berbeda." Gelombang yang dinamakan gelombang internal ini meliputi wilayah perairan di kedalaman lautan dan samudra dikarenakan pada kedalaman ini air laut memiliki massa jenis lebih tinggi dibanding lapisan air di atasnya. Gelombang internal memiliki sifat seperti gelombang permukaan. Gelombang ini dapat pecah, persis sebagaimana gelombang permukaan. Gelombang internal tidak dapat dilihat oleh mata manusia, tapi keberadaannya dapat dikenali dengan mempelajari suhu atau perubahan kadar garam di tempat-tempat tertentu. (Gross, M. Grant; 1993, Oceanography, a View of Earth, 6. edition, Englewood Cliffs, Prentice-Hall Inc., s. 205)
Pernyataan-pernyataan dalam Al Qur'an benar-benar bersesuaian dengan penjelasan di atas. Tanpa adanya penelitian, seseorang hanya mampu melihat gelombang di permukaan laut. Mustahil seseorang mampu mengamati keberadaan gelombang internal di dasar laut. Akan tetapi, dalam surat An Nuur, Allah mengarahkan perhatian kita pada jenis gelombang yang terdapat di kedalaman samudra. Sungguh, fakta yang baru saja diketemukan para ilmuwan ini memperlihatkan sekali lagi bahwa Al Qur'an adalah kalam Allah.

BACA LAGI Read more...

GURU PATAH HIDUNG ....

KANGAR 7 April - Seorang guru wanita sebuah sekolah menengah di Bukit Ketri dekat sini patah hidungnya apabila ditumbuk oleh seorang pelajar lelaki sekolah itu hari ini.

Jurucakap Jabatan Pelajaran Perlis berkata kejadian itu berlaku apabila seorang pelajar tingkatan dua dikatakan menumbuk muka guru berkenaan, Mariati Mat Ail, 37, semasa beliau cuba meleraikan pergaduhan sekumpulan pelajar di hadapan sebuah kelas.

Kejadian berlaku pada pukul 12.40 tengah hari semasa waktu pertukaran kelas dan ketika melalui koridor sekolah, guru itu ternampak pergaduhan tersebut dan cuba meleraikannya, katanya ketika ditemui di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) hari ini. - Bernama

BACA LAGI Read more...

GURU JQAF KURANG 14,000

KUALA LUMPUR 5 April - Kementerian Pelajaran sedang mencari kaedah untuk mengatasi masalah kekurangan guru j-QAF yang masih memerlukan 14,000 orang lagi dalam memantapkan pelaksanaan modul pembelajaran tersebut.

Timbalan Menterinya, Datuk Dr. Wee Ka Siong berkata, kekosongan itu perlu diisi memandangkan kementerian merancang untuk memperluaskan j-QAF ke sekolah menengah.

''Dalam j-QAF, salah satu komponen penting adalah tulisan jawi dan ia asas untuk menjayakan program tersebut. Sebab itu ia disusun atur untuk sekolah rendah. Kita mahu pelaksanaan j-QAF disempurnakan terlebih dahulu di sekolah rendah sebelum diperluas di peringkat sekolah menengah.

''Tetapi, ketika ini, ada kekosongan 14,000 orang guru untuk mengajar j-QAF. Oleh itu, kita sedang mencari kaedah untuk mengatasi masalah tersebut," katanya di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Hamim Samuri (BN-Ledang) yang ingin tahu sejauh mana ukuran penguasaan tulisan jawi di kalangan pelajar melalui j-QAF.

Ujar Ka Siong, bagi membolehkan j-QAF diperluas ke sekolah menengah, kementerian sudah mempunyai kerangka khusus yang lengkap.

Mengenai soalan tambahan Datuk Taib Azamudden Md. Taib (Pas-Baling) yang ingin tahu kebenaran bahawa terdapat guru j-QAF yang tidak dibayar elaun selepas diarah bertugas di luar waktu pembelajaran untuk mengendalikan kelas Bestari Solat, katanya, kementerian tidak pernah mengabaikan kebajikan guru j-QAF.

''Apabila kita berdepan dengan kekurangan guru, sebab itu kita minta sedikit pengorbanan mereka. Dari segi kebajikan kita tak abaikan. Ini tugas yang patut dilakukan oleh guru j-QAF," jelasnya.

Terdahulu, menjawab soalan asal Hamim yang meminta kementerian menyatakan sejauh mana j-QAF telah berjaya mendidik murid sekolah menguasai tulisan jawi, Ka Siong memberitahu program tersebut telah dapat meningkatkan penguasaan murid bukan sahaja dalam jawi malah dalam bacaan al-Quran, bahasa Arab serta Fardhu Ain.

Menurut beliau, laporan kajian pelaksanaan menunjukkan penguasaan murid dalam tulisan jawi adalah sebanyak 92.12 peratus; al-Quran (99.1 peratus); bahasa Arab (84.71 peratus) dan Bestari Solat (99.39 peratus).

Atas dasar itu, tambahnya, program j-QAF wajar dilanjutkan ke sekolah menengah kerana bukan sahaja memberi kefahaman yang mendalam tetapi dapat meningkatkan penghayatan pelajar yang dijelmakan dalam amalan seharian.

BACA LAGI Read more...

BERHATI-HATI DENGAN TELUR TIRUAN


Di China terdapat sekolah khas yang mengajar teknologi menciplak atau mencipta semula sesuatu, termasuk telur juga telah dibuat sendiri dengan menggunakan bahan kimia, sama apabila digoreng dan dikatakan paling popular sekarang.


Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menasihatkan pengguna di Malaysia supaya berhati-hati ketika membeli telur kerana terdapat telur tiruan dijual di pasaran.
Seorang pengguna datang ke pejabat CAP bersama sedulang telur yang agak luar biasa bentuknya. Menurut beliau, apabila dimasak, telur itu tidak berbau seperti telur biasa dan tidak mempunyai sebarang rasa. Oleh kerana beliau berasa ragu-ragu dengan kandungan telur yang dibelinya itu, beliau membawa telur-telur tersebut ke pejabat CAP dan terus membuat aduan mengenainya.

Selepas diperiksa, kami mendapati memang benar telur-telur tersebut mempunyai bentuk yang berbeza daripada biasa. Ia besar dan bila dipecahkan tidak kelihatan pusat telur (chalazae - bahan legap yang biasanya terdapat pada putih telur, membendung kuning telur pada bahagian tengah telur). Telur-telur itu juga tidak berbau seperti telur biasa. Mengikut satu laporan, telur tiruan adalah perkara biasa di China. Pengguna di negara itu telah dinasihatkan supaya mengawasi telur tiruan ketika mereka hendak membeli telur.

Mengikut laporan tersebut, telur tiruan mengandungi bahan-bahan kimia. Cangkerangnya diperbuat daripada kalsium karbonat. Kuning telur dan putih telur diperbuat daripada natrium alginat, alum, gelatin, asid benzoik, kalsium klorida serta air dan pewarna makanan. Kuning telur dihasilkan hanya dengan mencampurkan pewarna makanan kuning lemon ke dalam adunannya. Kalsium klorida ditambah ke dalam adunan telur dan kemudian ke dalam acuan untuk menghasilkan membran telur. Cangkerang telur diperbuat dengan lilin parafin, serbuk gypsum, kalsium karbonat dan bahan-bahan lain. Pada amnya bahan-bahan ini adalah penambah makanan tetapi dalam menghasilkan telur tiruan, ia menjadi komponen utama. Oleh itu telur tiruan hanya mempunyai sedikit atau tidak langsung berkhasiat berbanding telur sebenar.

Cara mengenal telur tiruan:

Selepas telur dipecahkan, putih telur dan kuning telur akan segera bercampur.

Cangkerang telur tiruan agak berkilat berbanding telur sebenar, tetapi tidak begitu ketara.

Apabila disentuh dengan tangan, ia terasa agak kasar berbanding telur sebenar.

Apabila telur tiruan digoncang ia akan berbunyi kerana air berlebihan daripada bahan pepejal.

Telur sebenar agak berbau seperti daging mentah.

Ketuk-ketuk sedikit telur itu. Telur sebenar berbunyi lebih rapuh berbanding telur tiruan.

Selepas memecahkan telur tiruan, kuning telur dan putih telur akan cair bersama. Ini disebabkan kuning telur dan putih telur dihasilkan daripada bahan mentah yang sama.
Ketika menggoreng telur tiruan, kuning telur akan mengembang tanpa disentuh.
Telur adalah sumber protein yang murah dan dimakan oleh penduduk Malaysia. Memandangkan ia merupakan makanan kegemaran ramai, Persatuan Pengguna Pulau Pinang menggesa pihak berkuasa supaya menjalankan siasatan dengan segera berhubung isu telur tiruan ini.

BACA LAGI Read more...

FALSAFAH PENDIDIKAN NEGARA

" Pendidikan di Malaysia adalah satu usaha berterusan ke arah memperkembangankan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi, dan jasmani berdasarkan kepada kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara."

MUTIARA KATA

" Orang yang bahagia itu akan selalu menyediakan waktu untuk membaca kerana membaca itu sumber hikmah menyediakan waktu tertawa kerana tertawa itu muziknya jiwa, menyediakan waktu untuk berfikir kerana berfikir itu pokok kemajuan,menyediakan waktu untuk beramal kerana beramal itu pangkal kejayaan, menyediakan waktu untuk bersenda kerana bersenda itu akan membuat muda selaludan menyediakan waktu beribadat kerana beribadat itu adalah ibu dari segala ketenangan jiwa."

DENGAR ALQURAN

FALSAFAH PENDIDIKAN ISLAM

" Pendidikan Islam adalah satu usaha berterusan untuk menyampaikan ilmu, kemahiran dan penghayatan Islam berdasarkan Al-Quran dan As-Sunnah bagi membentuk sikap, kemahiran, keperibadian dan pandangan hidup sebagai hamba Allah yang mempunyai tanggungjawab untuk membangun diri, masyarakat, alam sekitar dan negara ke arah mencapai kebaikan di dunia dan kesejahteraan abadi di akhirat."

Followers

SEMAK PRODUK HALAL

TETAMU KAMI

PENAFIAN

© 2010 BLOG J-QAF SK KUALA KURAU, Hakcipta Terpelihara. Semua tulisan, pendapat, komen dan foto yang ada di blog ini adalah kepunyaan J-QAF SK KUALA KURAU melainkan dinyatakan sebaliknya. PIHAK JQAF SK KUALA KURAU tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang kehilangan atau kerosakan yang diakibatkan oleh penggunaan maklumat yang diperolehi daripada blog ini.

© 2010 BLOG J-QAF SK KUALA KURAU, Hakcipta Terpelihara. The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP