-->

HUFFAZ AL-QURAN MELAHIRKAN PELAJAR CEMERLANG

KALAU beberapa dekad dahulu, memiliki kemampuan menghafaz 30 juzuk al-Quran dan kemudian beralih menguasai bidang profesional lain kedengaran seperti suatu yang jarang berlaku.

Namun hakikatnya, sejarah telah membuktikan bahawa keunggulan peribadi ulama terdahulu yang menghafal al-Quran dan pada masa yang sama menguasai pelbagai cabang ilmu, wajar dijadikan idola oleh semua masyarakat Islam pada hari ini.

Ungkapan berbunyi, “Ada ke masa depan dalam bidang hafazan ini?”, “Tamat belajar nanti pun tidak ke mana...” dan “Paling tidakpun, jadi ustaz atau ustazah...”, seharusnya tidak wujud lagi.

Kebelakangan ini, telah nampak satu perubahan yang cukup luar biasa daripada semua pihak dalam usaha memartabatkan pendidikan tahfiz di negara ini.

Kerajaan sentiasa memainkan peranan penting bagi memastikan institusi al-Quran terus berkembang dan memberi manfaat kepada masyarakat Islam.

Ini termasuk dengan memberi bantuan-bantuan yang diperlukan bagi menjalankan program-program yang berkaitan tahfiz al-Quran.

Malah kecenderungan ibu bapa menghantar anak-anak mereka ke maahad-maahad tahfiz semakin menjadi trend masyarakat hari ini.

Ini menunjukkan masyarakat kita telah diberi pendedahan tentang prospek cerah pendidikan al-Quran, di samping kesedaran masyarakat yang semakin meningkat terhadap kepentingan

pendidikan al-Quran.

Imam Besar Masjid Negara, Tan Sri Sheikh Ismail Muhammad, 66, adalah antara lapan orang generasi pertama yang yang dihasilkan oleh Darul Quran (DQ), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), kira-kira 44 tahun lalu.

“Pada masa itu tahun 1966, keadaan belajar waktu itu jauh berbeza berbanding zaman sekarang.

“Saya masuk tahfiz disebabkan latar belakang keluarga yang susah di mana ayah dulu hanya bekerja sebagai penoreh getah.

“Selepas belajar sekolah Melayu saya layak ke sekolah beraliran agama dan kebetulan mendapat biasiswa yang membolehkan saya boleh meneruskan pelajaran.

“Duit itulah saya guna untuk menampung pengajian serta membantu keluarga di kampung di samping duit daripada zakat.

“Cabaran zaman itu, bidang tahfiz tidak ada orang hendak masuk kerana tidak nampak masa depannya. Kedua, ia adalah satu kursus yang baru, jadi tidak ada sesiapa yang boleh dijadikan rujukan, idola atau contoh tauladan.

“Jadi semangat dan pendorong saya ialah dengan keazaman mahu keluar daripada kepompongan kemiskinan,” kata Sheikh Ismail mengimbau kenangan ketika berusia 16 tahun.

Menurut Sheikh Ismail, beliau berjaya menamatkan pengajian dalam tempoh dua setengah tahun sekali gus memiliki Sijil Tahfiz al-Quran.

Pada 1982 beliau telah diberi kepercayaan mengasaskan Sekolah Tahfiz al-Quran di Negeri Terengganu seterusnya dilantik sebagai pengetua selama 10 tahun.

“Kemudian pada tahun 1992 saya diminta oleh Kerajaan Brunei untuk menubuhkan sekolah tahfiz di sana. Ketika itu saya sudah nampak ramai para hafiz dan hafizah ini turut berjaya dalam profesion moden lain.

“Tidak seperti di zaman saya dahulu. Ketika itu orang yang mengambil pelajaran agama dipandang kelas kedua berbanding dengan sekolah beraliran Inggeris,” jelas anak kedua daripada tiga adik-beradik kelahiran Dungun, Terengganu ini.

Beliau yang mula berkhidmat di Masjid Negara pada 2004 menegaskan, Sabda Rasulullah SAW hadis riwayat al-Tirmizi yang bermaksud: “Sesungguhnya sesiapa yang tidak terdapat pada kerongkongnya sesuatu daripada al-Quran (tidak membaca) maka ia seperti rumah yang usang.”

Justeru, masyarakat kena faham bahawa orang yang hafaz ini diasuh dengan ingatan.

Malah budaya sebegini telah lama sebati dalam kehidupan masyarakat Arab yang mana seawal usia tujuh lapan tahun, anak-anak ini telah mula menghafaz.

“Hafaz ketika kecil seperti ukir di batu tetapi hafaz ketika dewasa, ia umpama ukir di atas air. Ini bukanlah tidak boleh tetapi agak sukar sedikit. Malah jika kanak-kanak ini telah dididik dan diterapkan al-Quran dalam dada sejak kecil, mustahil mereka akan melakukan perkara-perkara yang ditegah oleh agama,” jelasnya.

Kata Sheikh Ismail lagi, di Mesir, latar belakang pelajar yang cemerlang, kebanyakan mereka adalah hafaz al-Quran.

Manakala di India pula, mereka akan memastikan sekurang-kurangnya seorang anak dalam keluarga mestilah bergelar hafiz atau hafizah.

“Alangkah, baiknya jika perkara sebegini juga dijadikan budaya di kalangan masyarakat Islam kita,” saran beliau.
sumber : bernama

BACA LAGI Read more...

ANTARA PERISTIWA DALAM BULAN REJAB

Pengertian Rejab

Rejab bermakna kebesaran atau kemuliaan. Ia juga membawa maksud bulan yang dibesarkan atau dimuliakan.

Masyarakat jahiliyyah menamakan bulan ini dengan bulan Rejab mereka memuliakan dan menghormati bulan ini dengan mengharamkan pertumpahan darah di bulan Rejab. Bagi umat Islam, kita memperingati dan memuliakan Rejab sempena dengan peristiwa besar yang berlaku kepada Rasulullah s.a.w iaitu peristiwa Isra’ dan Mi’raj.

Antara peristiwa-peristiwa yang berlaku dalam bulan Rejab ialah :

1. Hijrah Pertama

Hijrah ke Habsyah (Ethiopia) berlaku kerana pihak musyrikin Mekah meningkatkan tekanan dan ancaman kepada Rasulullah s.a.w dan mereka yang beriman kepada Rasulullah s.a.w pada ketika itu. Ada di kalangan sahabat yang mengadu kepada Rasulullah s.a.w tentang derita yang mereka tanggung lalu Rasulullah s.a.w memerintahkan agar mereka berhijrah ke negeri Habsyah.

Tujuan hijrah ini adalah untuk menyelamatkan iman dan keselamatan diri di samping untuk mencari tapak baru untuk Islam bertapak dan menyusun langkah untuk agenda seterusnya. Diantara mereka yang berhijrah ke Habsyah ialah Saidina Othman r.a dan isterinya Ruqayyah anak Rasulullah s.a.w. Jumlah mereka adalah 14 orang termasuk 4 orang wanita. Habsyah dipilih kerana rajanya dikenali dengan toleransi dan sikap terbukanya.

2. Isra’ dan Mi’raj

Isra’ dan Mi’raj ertinya Rasulullah s.a.w dijalankan dari Mekah ke Baitulmaqdis di waktu malam dan diangkat ke langit bertemu Allah s.w.t untuk mengambil kewajipan solat 5 waktu dari Allah s.w.t .

Dalam menentukan tarikh bila berlakunya peristiwa ini, sebahagian ulama’ mengatakan pada 27 RabiulAkhir, sebahagian mengatakan pada 17 RabiulAwwal, sebahagian yang lain mengatakan pada 29 Ramadhan, ada yang mengatakan pada 27 Rejab dan ada juga ulama’ yang mengatakan selain daripada tanggal-tanggal yang telah disebutkan.Adapun yang terbanyak ialah golongan yang mengatakan pada tanggal 27 Rejab sekalipun tidak disertai dengan alas an yang kuat. Tahun berlakunya juga terdapat perselisihan pendapat ulama’.

3.Perang Tabuk

Tabuk adalah mengambil nama sempena nama satu tempat di Utara Semenanjung Arab di mana Rasulullah s.a.w dan 30 ribu tentera Islam berkumpul. Tidak berlaku pertempuran kerana tentera Rom telah melarikan diri kerana takut dan gerun dengan kekuatan dan kecekalan tentera Islam yang sanggup menghadapi pelbagai kesukaran.

4. Pembebasan Baitul-Maqdis

Baitulmaqdis telah dibuka pada zaman Saidina Umar Al-Khattab r.a di zaman pemerintahannya. Akibat kelalaian dan pepecahan umat Islam di zaman pemerintahan Abasiyah, Kristian (tentera Salib) telah melakukan serangan demi serangan keatas Baitulmaqdis dan akhirnya dapat menawan kota suci Baitulmaqdis setelah 500 tahun dikuasai oleh pemerintah Islam. Tentera Salib telah menduduki Baitulmaqdis hampir 60 tahun sebelum dibebaskan kembalioleh panglima Islam terkenal Solahuddin Al-Ayubi. Beliau telah menawan kembali Baitulmaqdis dari tangan tentera Salib pada hari Jumaat, 27 Rejab 583H. Dan pada tahun 1967 bersamaan 1387H Yahudi pila menawan Baitulmaqdis (Palestin) dan menamakan negara baru mereka dengan nama Israel.

5. Lahirnya Imam As-Syafie r.a

Nama sebenar Imam As-Syafie r.a ialah Muhammad bin Idris. Beliau lahir di Ghazah, Pelestin pada tahun 150H bersamaan 767 Masehi dalam bulan Rejab. Beliau adalah salah seorang dari empat imam mazhab yang besar dalam dunia fiqh. Malaysia mengamalkan mazhab As-Syafie. Diantara peniggalan Imam As-Syafie r.a yang menjadi rujukan sehingga sekarang ialah kitab Al-Umm.

BACA LAGI Read more...

DOWNLOAD eLAPORAN VERSI 10

DOWNLOAD : KLIK PADA GAMBAR

1. Bahagian Khatam Al-Quran TAHUN

1.1 IQRA’(LITERASI) : Perubahan/peningkatan murid dari awal tahun hingga bulan jun.
Cth: Iqra’ 1/Iqra’ 2 bermaksud murid tersebut membaca Iqra’ 1 di awal tahun dan pada bulan jun murid tersebut membaca Iqra’ 2.

1.2 AYAT TERTINGGI: Mengikut bilangan muka surat tidak lagi mengikut ayat tertinggi.

1.3 MARKAH BACAAN: Iqra’ 1-3 01-10 markah
Iqra' 4-6 11-19 markah
Al-Quran 20-40 markah
2. Bahagian Bahasa Arab TAHUN 3
Isi markah ujian yang di buat dua kali iaitu Mac dan Mei.

3.Bahagian Solat Tambahan (Tahun 4-6 sahaja)
Bahagian ini adalah tambahan kepada solat yang ada mengikut sukatan Kem bestari solat Tahun 4-6. Penilaian bagi aktiviti tayammum dan solat Jenazah.

BACA LAGI Read more...

10 000 GURU JQAF AKAN DITAMBAH..

ALOR SETAR 12 Jun — Kementerian Pelajaran merancang untuk menambah 10,000 lagi guru bagi program Jawi, Al-Quran, Bahasa Arab dan Fardu Ain (J-Qaf) dalam usaha memperkasakan program itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, penambahan itu amat penting bagi menampung kekurangan guru J-Qaf di seluruh negara, yang kini hanya seramai 14,000 orang.

Katanya, pengambilan tenaga guru J-Qaf juga akan dipermudahkan dari semasa ke semasa tetapi syarat kelayakan mungkin akan diperketat dengan calon lepasan Sijil Menengah Agama (SMA) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) akan diberi pertimbangan untuk mengikuti pengajian dalam program pendidikan agama di institut pendidikan guru.

"Pada masa sama, kami juga sedang mempertimbangkan beberapa perkara dan melihat kesesuaian masa sebelum membolehkan jawatan guru-guru agama dan J-Qaf diselaraskan mengikut standard terkini,” katanya katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Guru-guru Agama Negeri Kedah, di sini hari ini.

Katanya, perkara itu penting bagi membolehkan program J-Qaf melahirkan lebih ramai pelajar aliran agama yang berkualiti dan berdaya saing selaras dengan pelan Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) yang memberi penekanan kepada transformasi ke arah kecemerlangan. - Bernama"

BACA LAGI Read more...

UPSR & PMR AKAN DIMANSUHKAN ?..

PUTRAJAYA: Kementerian Pelajaran tidak menetapkan sebarang tempoh untuk melaksanakan cadangan memansuhkan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR), kerana masih memerlukan masa untuk meneliti maklum balas daripada pelbagai pihak. Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata kerajaan tidak mahu tergesa-gesa dalam membuat sebarang keputusan membabitkan kedua-dua peperiksaan itu. “Kementerian tidak menetapkan sebarang tempoh sama ada sebulan atau dua bulan, tetapi yang pasti kita akan mengambil masa yang sesuai kerana tidak perlu kita bergopoh dalam soal sepenting peperiksaan. Jadi bila sudah berpuas hati kita akan beritahu keputusan.

“Apa pun kita akan tunggu, apabila semua pihak sudah menyuarakan pandangan, maklumat ini akan dikumpul dan kementerian juga akan memanggil pihak yang berkepentingan dalam soal pendidikan untuk berbincang,” katanya kepada media selepas merasmikan Persidangan Perkhidmatan Pendidikan 2010, di sini, semalam.

Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon; Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi dan Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan, Datuk Kusaini Hasbullah.

Persidangan yang berlangsung selama tiga hari hingga 24 Jun itu disertai lebih 200 peserta yang mewakili Kementerian Pelajaran, KPT, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan institusi pengajian tinggi awam (IPTA).
Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata demikian ketika mengulas kenyataannya sebelum ini yang mahu pakar pendidikan dan masyarakat menyatakan maklum balas mereka mengenai cadangan pemansuhan UPSR dan PMR.

Mengenai maklum balas yang diterimanya setakat ini, katanya, ia adalah baik kerana ada pihak yang bersetuju supaya kedua-dua peperiksaan itu dihapuskan dan ada juga yang mahu salah satu peperiksaan itu dikekalkan.

“Apa-apa pun, kita akan menunggu selepas kita berpuas hati apabila semua pihak dapat menyuarakan pandangan,” katanya.

Sementara itu, ketika berucap, beliau berkata, proses lantikan dan penempatan guru akan diperkemaskan lagi dengan adanya perkongsian data antara Kementerian Pelajaran, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP).

Muhyiddin berkata, perkongsian data itu akan membolehkan proses lantikan dilaksanakan dengan lebih cekap, pantas dan berkesan kerana calon yang lulus kursus perguruan tidak perlu lagi dilantik sebagai guru sandaran terlatih, sebaliknya boleh terus dilantik sebagai guru tetap

(sumber : berita harian)

BACA LAGI Read more...

FALSAFAH PENDIDIKAN NEGARA

" Pendidikan di Malaysia adalah satu usaha berterusan ke arah memperkembangankan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi, dan jasmani berdasarkan kepada kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara."

MUTIARA KATA

" Orang yang bahagia itu akan selalu menyediakan waktu untuk membaca kerana membaca itu sumber hikmah menyediakan waktu tertawa kerana tertawa itu muziknya jiwa, menyediakan waktu untuk berfikir kerana berfikir itu pokok kemajuan,menyediakan waktu untuk beramal kerana beramal itu pangkal kejayaan, menyediakan waktu untuk bersenda kerana bersenda itu akan membuat muda selaludan menyediakan waktu beribadat kerana beribadat itu adalah ibu dari segala ketenangan jiwa."

DENGAR ALQURAN

FALSAFAH PENDIDIKAN ISLAM

" Pendidikan Islam adalah satu usaha berterusan untuk menyampaikan ilmu, kemahiran dan penghayatan Islam berdasarkan Al-Quran dan As-Sunnah bagi membentuk sikap, kemahiran, keperibadian dan pandangan hidup sebagai hamba Allah yang mempunyai tanggungjawab untuk membangun diri, masyarakat, alam sekitar dan negara ke arah mencapai kebaikan di dunia dan kesejahteraan abadi di akhirat."

Followers

SEMAK PRODUK HALAL

TETAMU KAMI

PENAFIAN

© 2010 BLOG J-QAF SK KUALA KURAU, Hakcipta Terpelihara. Semua tulisan, pendapat, komen dan foto yang ada di blog ini adalah kepunyaan J-QAF SK KUALA KURAU melainkan dinyatakan sebaliknya. PIHAK JQAF SK KUALA KURAU tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang kehilangan atau kerosakan yang diakibatkan oleh penggunaan maklumat yang diperolehi daripada blog ini.

© 2010 BLOG J-QAF SK KUALA KURAU, Hakcipta Terpelihara. The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP