-->

BENARKAH KITA MENCINTAI RASULULLAH SAW


Pada 12 Rabiul Awal 1431 bersamaan 26 Februari 2010 adalah hari sambutan Maulidur Rasul yang menjadi salah satu hari kebesaran Islam yang disambut meriah di negara ini. Walaupun Nabi Muhammad SAW telah meninggalkan kita sejak kira-kira 1,440 yang lalu, tetapi dengan kekuatan sunnahnya, maka kita merasakan seolah-olah baginda masih hidup berada di sekeliling kita menegakkan Islam. Nabi Muhammad adalah satu-satunya Rasul yang telah menyelesaikan tugas dan menyempurnakan amanah pekerjaan sewaktu hayat baginda. Baginda telah membawa kepada kita risalah Allah dengan dua cara. Pertama, menyampaikan hukum Allah SWT melalui al-Quran; dan Kedua, menghidupkan wahyu-wahyu Allah dengan sempurna melalui perbuatan, perkataan dan pengakuannya atau dinamakan sunnah.

Kemuliaan akhlak Rasulullah SAW sebagaimana yang dicerminkan di dalam al-Quran, wajib di ambil tauladan secara mutlak dan di taati oleh manusia sepanjang kehidupan ini. Firman Allah SWT di dalam Surah at-Taghaabun, ayat 12:

Maksudnya: “Dan taatlah kamu kepada Allah serta taatlah kepada Rasulullah; maka kalau kamu berpaling, maka sesungguhnya kewajipan Rasul Kami hanyalah menyampaikan (perintah Allah) dengan jelas nyata”.

Berdasarkan ayat tadi, Allah SWT menegaskan bahawa perintah mentaati Rasulullah SAW adalah bererti mentaati Allah SWT; dan mengingkari baginda bererti juga mengingkari Allah SWT.

Bukti penegasan ‘taat kepada Rasulullah’ ini terdapat di dalam kalimah syahadah. Kalimah ini mensyaratkan bahawa seseorang tidak boleh menganut Islam jika hanya mengaku beriman kepada Allah SWT tanpa mengakui kerasulan Nabi Muhammad SAW. Dari sini kita berpendapat bahawa dalil mencintai Rasulullah adalah mentaati keseluruhan ajaran baginda. Pada masa sama ia membawa kita mencintai Allah SWT. Oleh itu, beriman kepada para Rasul Allah adalah wajib dan menjadi tunjang kekuatan akidah Islam. Sesiapa yang mengingkari perintah Rasul bererti dia keluar dari lingkaran keimanan.

Selari dengan ikrar yang kita lafazkan dalam syahadah, maka menjadi tanggungjawab mimbar mengingatkan sidang Jumaat dan umat Islam sekalian bahawa semua ajaran al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW hendaklah dipatuhi dan diamalkan. Jika kita mengabaikan pelaksanaan hukum Allah dan suruhan Rasul-Nya, maka Allah akan jauh daripada kita. Ini bererti iman kita mulai lemah dan kelemahan iman ini memberi ruang kepada musuh Allah dan syaitan mendekati bahkan mempengaruhi kita dalam membuat keputusan.
Oleh itu, tidak menghairankan ada di kalangan umat Islam yang mengaku beriman dengan Allah dan Rasul-Nya, tetapi pada masa sama telah mentafsir Islam mengikut hawa nafsu. Mereka sanggup melakukan tindak-tanduk mengikut kemahuan sendiri dan akhirnya perbuatan tersebut kelihatan janggal, pelik di khalayak ramai. Besarnya pengaruh nafsu dan peranan syaitan dalam kehidupan ini terbukti apabila mereka tanpa segan silu mengutamakan kepentingan diri, mengutamakan kebendaan walaupun nyata bercanggah dengan al-Quran dan sunnah.
Persoalan besar timbul ialah bagaimana bentuk dan pengukuran bahawa kita tergolong orang Islam yang benar-benar mencintai Rasulullah SAW?. Ramai orang mengakui cinta kepada Rasulullah tetapi tidak tahu bentuk dan hakikatnya. Cinta yang jujur akan menggerakkan seluruh perasaan dan kelakuan manusia untuk membuat sesuatu sebagai cermin kehidupannya yang selari dengan ajaran Islam.
Para sahabat dalam membuktikan kecintaan mereka kepada Rasulullah dan sunnahnya telah sanggup berkorban nyawa, rela kehilangan harta kekayaan, anak-anak, ibubapa dan status diri, demi mempertahankan perjuangan suci bersama Rasulullah. Nama-nama besar seperti Saidina Abu Bakar, Saidina Ali dan ramai lagi para syuhada’ dan golongan solihin baik lelaki dan wanita telah membuktikan kasih sayang yang tidak berbelah bahagi kepada Rasulullah SAW.

Setiap tahun umat Islam menyambut Maulidur Rasul dalam pelbagai bentuk. Kadangkala program yang dibuat itu mendapat kritikan hebat kerana kualiti keberhasilannya iaitu sejauhmana kita menghayati dan mentaati suruhan Rasulullah SAW. Program Maulidur Rasul ini pada dasarnya adalah sebahagian daripada aktiviti dakwah. Ia bertujuan untuk mentarbiyah, membimbing dan memperingatkan umat Islam agar menghargai apa yang dikurniakan oleh Allah SWT. Salah satu pengajaran itu ialah memperingati perjuangan Nabi Muhammad SAW sebagai seorang pesuruh Allah yang paling berjaya menegakkan ajaran Allah, Rasul terakhir, tokoh teragong sepanjang abad di dunia dan akhirat kerana membawa perubahan besar kepada lanskap akidah manusia di dunia. Malah hingga ke hari ini tokoh ini masih digeruni musuh seolah-olah masih hidup walaupun telah beribu-ribu tahun meninggal dunia.
Dengan demikian sambutan Maulidur Rasul yang diberi liputan meluas dalam media cetak dan media elektronik memberi peluang kepada rakyat pelbagai agama di negara ini memperingati seorang insan terpilih, memahami gaya kepimpinan, memahami akhlaknya dan memahami dasar politik, ekonomi dan sosial untuk kita teruskan dan hayati. Hakikatnya sambutan Maulidur Rasul adalah suatu peringatan, suatu tazkirah yang bertepatan dengan firman Allah SWT dalam Surah adz-Dzaariyat, ayat 55:

Maksudnya: “Dan tetap tekunlah engkau memberi peringatan, kerana sesungguhnya peringatan itu mendatangkan faedah kepada orang yang beriman.”

Sirah baginda SAW ini hendaklah diulangkaji, dirujuk dan disuburkan setiap masa, supaya kekal dalam ingatan dan jiwa manusia. Sambutan yang diadakan bukan sekadar untuk bermain-main, bersenda gurau, atau mengisi masa kosong; tetapi lebih kepada mencapai suatu tugas yang perlu kita laksanakan, berbentuk amanah yang perlu kita tunaikan.
Bagaimana pun mimbar sangat kesal jika sambutan yang diadakan setiap tahun ini, tidak di hayati sepenuhnya dengan pengisian yang tepat oleh umat Islam. Bahkan lebih menyedihkan lagi ialah pada satu masa kita mengagongkan Rasulullah SAW dan pada masa yang lain pula kita bersifat talam dua muka, bertukar rupa dengan melakukan perkara yang dilarang oleh Rasulullah.

Firman Allah SWT dalam Surah Ali Imran, ayat 31:

Maksudnya: “Katakanlah: Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

Imam at-Tirmizi pula meriwayatkan bahawa Abdullah bin Mughaffal r.a. berkata:

“Seseorang telah datang menemui Nabi SAW dan berkata: “Demi Allah, saya sangat kasih kepada-Mu, Ya Rasulullah”. Jawab Nabi SAW: “Perhatikan benar-benar perkataanmu itu”. Orang itu berkata: “Demi Allah, saya cinta kepadamu, Ya Rasulullah (di ulangi sehingga tiga kali)”. Maka Nabi SAW bersabda: “Jika benar kamu cinta-kasih kepadaku, maka bersiap-sedialah menghadapi kemiskinan-kesusahan, persiapkan dirimu dengan baju (benteng iman) yang kukuh (agar dapat menghadapi segala kemungkinan susahpayah), kerana kemiskinan-susahpayah itu lebih cepat datangnya kepada orang yang cinta-kasih kepadaku melebihi kecepatan (air) banjir ke dalam jurang (lembah-gaung yang dalam).

Bagi menentukan sambutan Maulidur Rasul memberi keberhasilan yang tinggi kepada negara dan rakyat, maka terdapat lima petanda aras untuk menentukan kejayaannya iaitu:

Pertama: Pelaksanaan dengan penuh taat segala perintah Allah dan Rasulullah SAW.
Kedua: Mempertahankan dengan segala upaya kemuliaan Rasulullah SAW dari sebarang penghinaan.
Ketiga: Memberikan penghormatan sewajarnya kepada Rasulullah SAW dalam tindak tanduk kita seharian.
Keempat: Mencontohi akhlak, keperibadian dan teladan yang ditunjukkan oleh Nabi SAW; dan
Kelima: Membanyakkan ucapan selawat dan salam kepada Nabi SAW.



BACA LAGI Read more...

RENUNGAN BUAT ANAK-ANAK

Memang sukar untuk orang lain percaya,tapi itulah yang berlaku. Ibu saya memang seorang pembohong!! Sepanjang ingatan saya sekurang-kurangnya 8 kali ibu membohongi saya. Saya perlu catatkan segala pembohongan itu untuk dijadikan renungan anda sekalian. Cerita ini bermula ketika saya masih kecil. Saya lahir sebagai seorang anak lelaki dalam sebuah keluarga miskin. Makan minum serba kekurangan. Kami sering kelaparan. Adakalanya, selama beberapa hari kami terpaksa makan berlaukkan ikan masin dikongsi satu keluarga.Sebagai anak yang masih kecil, saya sering saja merungut. Saya menangis mahukan nasi dan lauk yang banyak. Tapi ibu cepat memujuk. Ketika makan, ibu sering membahagikan bahagian nasinya untuk saya. Sambil memindahkan nasi ke mangkuk saya, ibu berkata : ""Makanlah nak ibu tak lapar." – PEMBOHONGAN IBU YANG PERTAMA.
Ketika saya mulai besar ibu yang gigih sering meluangkan watu senggangnya untuk pergi memancing di tali air berhampiran rumah. Ibu berharap dari ikan hasil pancingan itu dapat memberikan sedikit makanan untuk membesarkan kami adik-beradik.Pulang dari memancing, ibu memasak gulai ikan yang segar dan mengundang selera. Sewaktu saya memakan gulai ikan itu ibu duduk disamping kami dan memakan sisa daging ikan yang masih menempel di tulang daripada bekas sisa ikan yang saya makan tadi..Saya sedih melihat ibu seperti itu.. Hati saya tersentuh lalu dengan menggunakan sudu saya memberikan ikan itu kepada ibu. Tetapi ibu dengan cepat menolaknya. Ibu berkata : "Makanlah nak, ibu tak suka makan ikan." – PEMBOHONGAN IBU YANG KEDUA.
Di usia awal remaja, saya masuk sekolah menengah. Ibu pergi ke kedai dengan membawa sejumlah penyapu lidi dan kuih-muih untuk menyara persekolahan saya,abang dan kakak.Suatu dinihari lebih kurang pukul 1.30 pagi saya terjaga dari tidur. Saya melihat ibu membuat kuih denagn beremankan sebuah pelita di hadapannya. Beberapa kali saya melihat kepala ibu terhangguk kerana mengantuk. Saya berkata : "Ibu, tidurlah, esok pagi ibu kena pergi kebun pula." Ibu tersenyum dan berkata : "Cepatlah tidur nak, ibu belum mengantuk lagi." – PEMBOHONGAN IBU YANG KETIGA.
Di hujung musim persekolahan, ibu meminta cuti kerja supaya dapat menemani saya pergi ke sekolah untuk menduduki peperiksaan penting. Ketika hari sudah siang, terik panas matahari mulai menyinari, ibu terus sabar menunggu saya di luar dewan. Ibu seringkali saja tersenyum dan mulutnya terkumat-kamit berdoa kepada Illahi agar saya lulus ujian peperiksaan ini dengan cemerlang.Ketika loceng berbunyi menandakan ujian sudah selesai, ibu dengan segera menyambut saya dan menuangkan kopi yang sudah disiapkan dalam botol yang dibawanya. Kopi yang kental itu tidak dapat dibandingkan dengan kasih saying ibu yang jauh lebih kental.Melihat tubuh ibu yang dibasahi peluh, saya segera memberikan cawan saya itu kepada ibu dan menyuruhnya minum. Tapi ibu cepat-cepat menolaknya dan berkata : "Minumlah nak, ibu tak haus!!" – PEMBOHONGAN IBU YANG KEEMPAT.
Setelah pemergian ayah kerana sakit, iaitu selepas saya baru beberapa bulan dilahirkan, ibulah yang mengambil tugas sebagai ayah kepada kami sekeluarga. Ibu bekerja mengambil upah di kebun, membuat penyapu lidi dan menjual kuih-muih agar kami tidak kelaparan.Tapi apalah sangat kudrat seorang ibu. Kehidupan keluarga kami semakin susah dan susah. Melihat keadaan keluarga yang semakin parah, seorang pakcik yang baik hati dan tinggal berjiran dengan kami, datang untuk membantu ibu. Anehnya, ibu menolak bantuan itu.Jiran-jiran sering kali menasihati ibu supaya menikah lagi agar ada seorang lelaki yang akan menjaga dan mencarikan wang untuk kami sekeluarga. Tetapi ibu yang keras hatinya tidak mengendahkan nasihat mereka. Ibu berkata : "Saya tidak perlukan cinta saya tidak perlukan lelaki." – PEMBOHONGAN IBU YANG KELIMA.
Setelah kakak dan abang habis belajar dan mula bekerja, ibu sudah pun tua. Kakak dan abang menyuruh ibu supaya berehat sahaja di rumah. Tidak payahlah lagi bersusah payah dan bersengkang mata untuk mencari duit. Tetapi ibu tidak mahu. Ibu rela pergi ke pasar setiap pagi menjual sedikit sayur untuk memenuhi keperluan hidupnya.Kakak dan abang yang bekerja jauh di kota besar sering mengirimkan wang untuk membantu memenuhi keperluan ibu, pun begitu ibu tetap berkeras tidak mahu menerima wang tersebut. Malahan ibu mengirim balik wang itu dan ibu berkata : "Jangan susah-susah, ibu ada duit." – PEMBOHONGAN IBU YANG KEENAM.
Setelah tamat pengajian di universiti, saya melanjutkan lagi pelajaran ke peringkat sarjana di luar Negara. Pengajian saya di sana dibiayai sepenuhnya oleh sebuah syarikat besar. Sarjana itu saya sudahi dengan cemerlang,kemudian saya pun bekerja dengan syarikat yang telah membiayai pengajian saya juga di luar negara.Dengan gaji yang agak lumayan, saya berhajat membawa ibu untuk menikmati penghujung hidupnya di luar negara. Pada pandangan saya, ibu sudah puas bersusah payah untuk kami. Hampir seluruh hidupnya habis dengan penderitaan, eloklah kalau hari-hari tuanya ini ibu habiskan dengan keceriaan dan keindahan pula.Tetapi ibu yang baik hati, menolak ajakan saya. Ibu tidak mahu menyusahkan anaknya ini dengan berkata ; "Tak payahlah, ibu tak biasa tinggal di negara orang." – PEMBOHONGAN IBU YANG KETUJUH.
Beberapa tahun berlalu, ibu semakin tua.. Suatu malam saya menerima berita ibu diserang penyakit kanser. Ibu mesti dibedah secepat mungkin. Saya yang ketika itu berada jauh diseberang samudera terus segera pulang untuk menjenguk ibunda tercinta.Saya melihat ibu terbaring lemah di katil hospital setelah menjalani pembedahan. Ibu yang kelihatan sangat tua, menatap wajah saya dengan penuh kerinduan. Ibu menhadiahkan saya sebuah senyuman biarpun agak kaku kerana terpaksa menahan sakit yang menjalari setiap inci tubuhnya.. Saya dapat melihat dengan jelas betapa penyakit itu telah memamah tubuh ibu sehingga ibu menjadi terlalu lemah dan kurus.Saya menatap wajah ibu sambil berlinangan air mata. Saya cium tangan ibu kemudian saya kecup pula pipi dan dahinya. Di saat itu hati saya terlalu pedih, sakit sekali melihat ibu dalam keadaan seperti ini. Tetapi ibu tetap tersenyum dan berkata : "Jangan menangis nak, ibu tak sakit." – PEMBOHONGAN IBU YANG KELAPAN.
Setelah mengucapkan pembohongan yang kelapan itu, ibunda tercinta menutup matanya untuk kali terakhir kali.Anda bertuah kerana masih mempunyai ibu dan ayah. Anda boleh memeluk dan menciumnya. Kalau ibu anda jauh dari mata, anda boleh menelefonnya sekarang, dan berkata, 'Ibu,saya sayangkan ibu.' Tapi tidak saya. Sehingga kini saya diburu rasa bersalah yang amat sangat kerana biarpun saya mengasihi ibu lebih dari segala-galanya, tapi tidak pernah sekalipun saya membisikkan kata-kata itu ke telinga ibu, sampailah saat ibu menghembuskan nafasnya yang terakhir. Ibu, maafkan saya. Saya sayangkan ibu…

BACA LAGI Read more...

PERSOALAN TENTANG ZAKAT PENDAPATAN


1. Mutakhir ini kita didedahkan dengan zakat pendapatan. Soalnya, apakah dalil yang mewajibkan zakat pendapatan ini?

Zakat ke atas pendapatan adalah wajib dikeluarkan sebagaimana yang telah di fatwakan oleh kebanyakan ulama muta’akhirin termasuk Prof. Dr. Yusof Qardhawi dan Dr. Hussein Shahatah, demikian juga oleh Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan.

Terdapat banyak dalil yang menunjukkan kewajipan zakat pendapatan ini, antaranya firman Allah:”Wahai orang-orang yang beriman keluarkanlah sebahagian dari usaha kamu yang baik-baik dan sebahgian daripada apa yang telah Kami keluarkan dari bumi untuk kamu” (Al-Baqarah: 267)

Manakala sabda Rasulullah (SAW) yang bermaksud: ”Jika kamu memiliki 200 dirham dan genap haulnya maka di dalamnya (zakat) 5 dirham, dan tidak taqwa ke atas kamu sesuatu iaitu di dalam emas, sehingga kamu memiliki 20 dinar. Apabila kamu memiliki 20 dinar dan genap haulnya, maka di dalamnya (zakat) setengah dinar.” (Riwayat Abu Daud

Di samping itu, berdasarkan catatan sejarah, pada zaman pemerintahan khalifah Umar bin Abdul Aziz (meninggal 72M) baginda telah pun melaksanakan zakat pendapatan ini ke atas gaji para tenteranya.

Ulama mutakhir juga menyatakan, secara perbandingannya zakat pendapatan ini adalah seperti zakat pertanian (kerana hasil pertanian itulah pendapatan para petani). Seandainya para petani diwajibkan mengeluarkan zakat mereka sebanyak lima hingga 10 peratus pada setiap kali musim menuai, maka bagaimanakah pula dengan mereka yang memperolehi gaji pada setiap bulan. Logik akal menyatakan, maka sudah pastilah zakat juga turut wajar dikenakan ke atas pendapatan itu.

2. Timbul sedikit kekeliruan dalam pengiraan zakat pendapatan. Bolehkan diperjelaskan kaedah sebenar pengiraan zakat pendapatan ini?

Menurut Jawatankuasa Fatwa Kerajaan Negeri Selangor, terdapat tiga kaedah pengiraan zakat pendapatan:

a) Tanpa tolakan
b) Tolakan asas yang dibenarkan
c) Tolakan sebenar yang dibenarkan

Bagi mengetahui kaedah pengiraan berdasarkan tiga kaedah di atas, anda boleh merujuk laman web http://www.e-zakat.com.my/ atau rujuk artikel berkaitan di dalam Majalah Anis bulan April 2009.

3. Maksud pendapatan adalah luas. Bolehkah diperincikan apakah jenis-jenis pendapatan yang wajib dizakatkan?

Zakat pendapatan juga diistilahkan sebagai zakat al-mal al-mustafad, iaitu zakat yang bersumberkan gaji dan pendapatan professional yang lain.

Zakat pendapatan termasuklah segala jenis hasil pendapatan atau pulangan atau bayaran yang diperolehi sebagai balasan atas perkhidmatan yang diberi. Ia dikenali sebagai upah, gaji, bonus, dividen, hasil sewaan, royalty, hibah, elaun, honorarium, pampas an, pencen, perniagaan bermusim dan lain-lain bentuk pendapatan yang berasaskan kerjaya atau sebagai ahli professional.

Oleh itu, zakat pendapatan tidak hanya tertakluk kepada gaji tetap sahaja bahkan segala jenis pendapatan lain juga wajib dikira sebagai tunduk kepada zakat pendapatan.

4. Adakah seorang isteri yang berkerja wajib menunaikan zakatnya? Atau cukup sekadar suaminya sahaja yang menunaikan zakat?

Zakat adalah tertakluk kepada individu. Suami yang berkerja maka zakat wajib ke atasnya, maka isteri yang berkerja juga wajib zakat ke atasnya. Begitu juga, wang simpanan isteri milik isteri dan wajib dizakatkan, wang simpanan suami milik suami maka wajib dizakatkan. Ia adalah harta individu. Maka, suami dan isteri hendaklah mengira sendiri, sama ada pendapatan tahunan mereka wajib dizakatkan atau tidak. Sekiranya wajib, maka masing-masing wajib mengeluarkan zakat. Ia berbeza dengan zakat fitrah pada bulan Ramadan, kerana ia dikeluarkan oleh ketua keluarga untuk semua tanggungannya.

5. Adakah guru, polis, tentera dan kakitan awam yang sudah pencen daripada alam pekerjaan namun mendapat pencen bulanan tetap masih dikenakan zakat? Begitu juga wang yang diterima kerana penamatan kerja, seperti pampasan kerana VHSS (pemberhentian kerja sukarela) atau apa-apa insentif persaraan wajib dizakatkan?

Secara mudahnya, setiap wang yang bersumberkan pendapatan maka hendaklah dizakatkan. Ini termasuklah wang saguhati persaraan atau pampasan persaraan, kerana ia adalah wang yang diperolehi hasil daripada pekerjaan sebelumnya. Begitu juga wang pencen juga wajib dizakatkan, kerana ia bersifat pendapatan bulanan secara tetap. Dari sudut fekah, semua harta ini diistilahkan sebagai al mal al mustafad, yakni harta yang diperolehi daripada pekerjaan (seperti gaji, upah, elaun dan sebagainya) dan wajib dizakatkan apabila mencukupi segala syaratnya, kerana ia berpotensi untuk dikembangkan lagi.

6. Saya telah memenangi sebuah peraduan dan mendapat hadiah berupa wang tunai sebanyak RM10,000.00. Adakah ia dikira sebagai pendapatan dan saya wajib menzakatkannya? Bagaimana pula jika saya memenangi kereta atau rumah?

Wang hadiah itu tidak boleh dikira pendapatan kerana ia didapati secara mengejut dan tidak berkala atau tetap. Jadi, saudara tidak perlu mengeluarkan zakat ke atasnya. Walau bagaimanapun, ia akan menjadi zakat simpanan jika saudara tidak menghabiskannya dan menyimpannya di dalam mana-mana akaun (sebaik-baiknya tahun hijrah), misalnya saudara dapat wang hadiah itu pada bulan Ramadan tahun ini, saudara guna dan pada bulan Ramadan tahun hadapan, yakni genaplah setahun hijrah, jika masih berbaki maka ia dikira zakat simpanan. Itu pun jika baki selepas setahun itu masih melebihi nisab semasa (katakan nisab ialah RM6,800), maka barulah dikirakan zakat ke atas wang hadiah itu. Manakala hadiah dalam bentuk lain seperti rumah dan kereta tidak perlulah dizakatkan.

7. Saya adalah seorang ibu tunggal dua anak. Saya turut menampung perbelanjaan ibu bapa dan dua orang adik yang masih belajar. Apakah saya boleh memasukkan mereka ke dalam perbelanjaan dan mendapat tolakan dalam kiraan zakat pendapatan saya?

Ya, puan boleh menolak perbelanjaan yang diberikan kepada kedua ibu bapa dan kedua orang adik puan kerana puan adalah orang yang bertanggungjawa menyara mereka. Oleh itu, peruntukan bulanan yang puan berikan kepada mereka boleh dikira sebagai tanggungan sebelum kiraan zakat pendapatan puan.

Caranya, jika puan memberikan elaun sebanyak RM200 sebulan kepada ibu ayah dan RM200 elaun kepada adik-adik puan, maka RM400 x 12 bulan ialah RM4,800 boleh ditolak dalam kiraan zakat pendapatan. Manakala potongan untuk anak-anak pula ialah tetap RM1,000 bagi setiap orang. Selepas itu, bakinya baharulah dikirakan zakat.

8. Saya dimaklumkan bahawa ada tiga kaedah mengira zakat pendapatan. Apakah kaedah tersebut dan yang manakah paling afdal?

Terdapat tiga kaedah mengira zakat pendapatan. Pertama, dikira daripada keseluruhan jumlah pendapatan saudara terus dikeluarkan 2.5 peratus sebagai zakat. Kaedah ini dirasakan agak membebankan, jsuteru ia langsung tidak mengambil kira aspek penggunaan dan saraan seseorang.

Kaedah kedua pula, boleh buat dahulu tolakan asas yang sudah ditetapkan, iaitu diri sendiri RM8,000; isteri RM3,000; anak-anak RM1,000 seorang; pemberian kepada ibu bapa; caruman KWSP; caruman ke dalam akaun Tabung Haji dan caruman ke dalam mana-mana institusi yang mengeluarkan zakat kepada pencarum seperti takaful. Setelah itu baharu dikeluarkan zakat 2.5 peratus.

Kaedah ketiga ialah mengira jumlah sebenar perbelanjaan asasi, iaitu makanan, tempat tinggal, pakaian, perubatan, pengangkutan dan pendidikan. Kaedah ini tidak digalakkan, justeru seseorang itu boleh jadi terlepas daripada menunaikan zakat pendapatan; walhal pada masa yang sama dia mampu menjalani hidup yang mewah, misalnya memiliki kereta besar dengan rumah yang besar.

Kaedah kedua adalah paling baik, ia tidak terlalu ringan dan tidak terlalu membebankan sehingga menyebabkan seseorang itu terlepas dari menunaikan zakat pendapatan. Kaedah kedua inilah yang diamalkan di negara ini.

9. Saya melaksanakan zakat menerusi Skim Potongan gaji. Sekiranya saya sengaja melebihkan amaun bayaran zakat melalui potongan gaji, adakah ia dikirakan zakat juga? Bolehkah saya meniatkannya sebagai qada zakat? Bagaimana pula dengan akad zakat?

Zakat sudah tertentu jumlahnya. Jika ditaksirkan zakat saudara ialah RM100 sebulan, kemudian saudara sengaja menunaikan RM150, maka lebihan itu bukanlah zakat melainkan dikira sebagai sedekah.

Walau bagaimanapun, ia boleh diniatkan sebagai zakat harta yang lain. Misalnya zakat emas, zakat simpanan atau apa sahaja zakat termasuklah qada zakat yang lalu. Memadai dengan niat saudara semasa mengisi borang potongan zakat maka akad tidak diperlukan lagi.

Ini kerana, rukun dan syarat sah zakat ialah niat dan memberikan harta, yakni berlaku pemindahan hak milik ke atas harta zakat. Manakala lafaz zakat atau akad hanyalah sunat semata-mata.

10. Apakah yang dimaksudkan sebagai al-mal al-mustafad? Di samping itu, saya masih keliru kenapakah wang saguhati persaraan seperti graduiti diwajibkan zakat?

Al-mal al-mustafad bermaksud, segala jenis pendapatan yang diperolehi hasil daripada pekerjaan, seperti upah, ganjaran, pemberian dan lain-lain pendapatan yang ada kaitan dengan pekerjaan. Maka, al-mal al-mustafad adalah harta yang wajib dizakatkan.

Manakala, wang graduiti atau pampasan adalah termasuk ke dalam wang yang diperolehi daripada hasil pekerjaan atau pendapatan. Maka, ia masih dikategorikan sebagai harta al mal al mustafad (hasil daripada pekerjaan). Alasannya, seandainya kita tidak berkerja sebelum ini, maka pastinya kita tidak akan memperolehi wang graduiti berkenaan. Maka ia hendaklah dizakatkan apabila mencukupi syarat-syaratnya.

Perkara ini ada dibincangkan oleh Dr Mujaini Tarimin di dalam kertas kerjanya bertajuk: ‘Zakat Al-Mal Al-Mustafad dan Isu-isu Kontemporari’ (kini dibukukan oleh Utusan Publications di bawah tajuk Zakat: Menuju Pengurusan Profesional). Dan beliau memasukkan wang graduiti tersebut sebagai salah satu item di dalam perbahasan pendapatan yang dikategorikan harta al-mal al-mustafad (yang tunduk kepada zakat). Kesimpulannya, wang graduity adalah tunduk kepada zakat dan hendaklah dizakatkan. Wallahua’lam.

11. Saya telah ditegur oleh seorang kawan kerana membayar zakat melalui potongan gaji setiap bulan. Kata kawan saya, haul zakat saya ialah di hujung tahun. Saya keliru dan adakah sah zakat saya sebelum ini?

Sebenarnya, perbicaraan mengenai haul zakat penggajian agak panjang. Walau bagaimanapun, ulama sendiri mempunyai dua pendapat. Ada menyatakan, ia boleh dizakatkan tanpa menunggu setahun dan ada yang menyatakan hendaklah ditunggu setahun.

Hukumnya adalah sah zakat tersebut bahkan lebih awla jika saudara bimbang seandainya apabila cukup setahun, maka saudara sudah menghabiskan semua wang tersebut.

Kesimpulan yang dapat diberikan, adalah sah dan harus mengeluarkan zakat lebih awal dari waktunya. Inilah pendapat yang kuat bagi kalangan Syafie, Hanafi dan Hambali.

12. Saya telah menunaikan zakat melalui skim potongan gaji pada setiap bulan. Setelah berlalu setahun, saya dapati wang dalam simpanan saya melebihi nisab. Adakah saya perlu menunaikan zakat simpanan pula?

Zakat hanya dikenakan sekali pada harta yang sama pada tahun yang sama (masih dalam haul yang sama). Oleh itu, memandangkan wang yang disimpan itu telah pun dizakatkan terlebih dahulu melalui zakat pendapatan, maka tidak perlulah lagi puan mengeluarkan zakat simpanan pada tahun berkenaan.

Walau bagaimanapun, apabila berubah tahun (haul) yakni masuk tahun hadapan dan genap setahun, maka wang simpanan itu mestilah dikenakan zakat semula, iaitu zakat simpanan apabila jumlahnya selama setahun itu mencukupi paras nisab.

13. Saya masih terkeliru soal harta zakat. Apakah rumah dan tanah dusun serta sawah juga harta yang wajib dizakatkan?

Harta zakat yang saudara maksudkan di atas, iaitu rumah, tanah dusun serta sawah asalnya tidaklah wajib dizakatkan. Ini kerana, ia tidak termasuk dalam kategori harta yang wajib zakat, seperti harta perniagaan, galian, penternakan, pertanian, perhiasan dan wang simpanan.

Mengikut istilah fikah, harta yang induknya tidak wajib dizakat tetapi hasil daripadanya wajib dizakatkan, maka ia dinamakan harta al-mustaghallat. Misalnya, tanah kebun yang diberikan pajakan kepada pihak lain sehingga mendatangkan hasil yang melebihi nisab, maka ia wajib dizakatkan. Kadar zakat bagi harta saudara ini ialah 2.5 peratus, sama seperti zakat harta yang lain.

14. Saya berminat mengetahui rebat cukai individu yang menunaikan zakat? Bolehkah diperjelaskan kesannya kepada PCB saya?

Hakikatnya, rebat kepada cukai pendapatan adalah suatu kelebihan yang diberikan oleh pihak kerajaan kepada umat Islam. Maknanya, zakat termasuklah zakat fitrah layak dijadikan rebat kepada cukai pendapatan.

Menurut Akta Cukai Pendapatan 1967 Seksyen 6A (3), setiap individu yang menunaikan zakat berhak mendapat rebat ke atas jumlah cukai yang perlu dibayar pada tahun berkenaan. Implikasinya, sama ada ia akan mengurangkan jumlah cukai pendapatan individu ataupun ia akan terus mendapat pelepasan daripada membayar cukai pendapatan.

Oleh itu, setiap pembayaran zakat wajib disimpan resitnya bagi tujuan pembuktikan kepada pihak LHDN apabila diminta. Di samping itu, menunaikan zakat menerusi Skim Pemotongan Gaji juga akan melayakkan pelarasan cukai bulanan bagi mereka yang dikenakan Potongan Cukai Berjadual.

BACA LAGI Read more...

BERHATI-HATI MEMILIH BBM BAHASA ARAB



Semua guru Bahasa Arab, sila berhati-hati memilih BBM. Jangan beli melalui katalog tanpa melihat material yang sebenar. Sila lihat contoh BBM yang mengandungi terlalu banyak kesalahan yang bertanda merah.

Ini hanya sekeping kad.. Kad-kad yang lain bagaimana?? Gunakanlah wang dengan bijak. Anda akan melakukan pembaziran jika membeli BBM begini..

BACA LAGI Read more...

AWAS ROTI CANAI GULAI TIKUS


KANGAR - Seorang pemuda serik untuk mengunjungi sebuah restoran di sini, selepas loya dan muntah teruk apabila termakan kari yang didakwa mengandungi tikus ketika membeli roti canai di restoran berkenaan.

Kejadian serupa turut berlaku ke atas tiga adiknya apabila memakan roti canai dicicah kari itu pada malam Ahad lalu.

Mohd Shafiq Abdul Karim, 23, mendakwa, dia termuntah dan berasa loya selama tiga hari selepas menyedari kari dimakan bersama tiga adiknya adalah kuah tikus.

Menurutnya, kejadian itu disedari apabila dia mengambil ketulan daging dalam kuah kari yang dibeli dari sebuah restoran untuk dimakan bersama nasi manakala roti canai sudah dimakan tiga adiknya.

Katanya, dia membeli tiga keping roti canai bernilai RM2.40 di restoran berkenaan dan melihat kuah kari di dalam periuk hampir habis.

“Pekerja terbabit mencedok seketul daging berserta kuah sebelum dibungkus bersama roti canai. Saya menjangka mendapat bonus seketul daging kerana selalunya pekerja memberi kuah untuk roti canai,” katanya.

Menurutnya, tiga adiknya berumur 12 hingga 16 tahun begitu berselera menikmati tiga keping roti canai dengan mencicah gulai berkenaan manakala seketul daging dibiarkan kepadanya untuk dimakan bersama nasi.

“Bagaimanapun, saya terkejut besar apabila melihat gigi dan misai panjang pada ketulan daging berkenaan dan selepas diamati ia sebenar bangkai tikus yang dibelinya bersama kuah kari roti canai berkenaan. Saya berasa loya dan terus termuntah. Perkara itu dimaklumkan kepada tiga beradik yang lain sebelum ketiga-tiga mereka juga menghadapi sindrom sama.

“Sehingga sekarang, kami berempat begitu fobia melihat gulai daging selepas termakan gulai tikus dari restoran berkenaan,” katanya dari Taman Sena Indah, di sini, semalam.

:Mohd Shafiq yang merupakan lepasan sebuah kolej swasta berkata, dia terus memaklumkan kepada bapanya sebelum kedua beranak terbabit membawa ketulan tikus terbabit kepada Bahagian Teknologi Makanan, Jabatan Kesihatan Perlis, pada keesokan harinya.

Menurutnya, pegawai bahagian terbabit mengesahkan gulai daging berkenaan adalah tikus dan dia bertindak melaporkan perkara terbabit kepada penguat kuasa pengguna Perlis untuk tindakan lanjut.

Difahamkan restoran terbabit pernah dikenakan tindakan, termasuk notis amaran oleh pihak berkuasa tempatan kerana gagal mencapai tahap kebersihan ditetapkan.

Shafiq tidak menolak kemungkinan ramai lagi pelanggan tidak menyedari sudah menikmati kuah kari bangkai tikus yang disediakan restoran itu.

Sumber : Sinar Harian

BACA LAGI Read more...

10 WASIAT RASULULLAH KEPADA SITI FATHIMAH


10 wasiat Rasulullah kepada puterinya Fathimah binti Rasulillah. Sepuluh wasiat yang beliau sampaikan merupakan mutiara yang termahal nilainya bila kemudian dimiliki oleh setiap isteri solehah.

1. Ya Fathimah, kepada wanita yang membuat tepung untuk suami dan anak-anaknya, Allah pasti akan menetapkan kebaikan baginya dari setiap biji gandum, melebur kejelekan, dan meningkatkan darjat wanita itu.

2. Ya Fathimah, kepada wanita yang berkeringat ketika menumbuk tepung untuk suami dan anak-anaknya, nescaya Allah menjadikan dirinya dengan neraka sejauh tujuh tabir pemisah.

3. Ya Fathimah, tiadalah seorang yang meminyaki rambut anak-anaknya lalu menyisirnya dan mencuci pakaiannya, melainkan Allah akan menetapkan pahala baginya seperti pahala memberi makan seribu orang yang kelaparan dan memberi pakaian seribu orang yang telanjang.

4. Ya Fathimah, tiadalah wanita yang menahan keperluan jiran tetangganya, melainkan Allah akan menahannya dari minum telaga kautsar pada hari kiamat nanti.

5. Ya Fathimah, yang lebih utama dari seluruh keutamaan di atas adalah keredhaan suami terhadap isteri. Andaikata suamimu tidak redha kepadamu, maka aku tidak akan mendoakanmu. Ketahuilah wahai Fathimah, kemarahan suami adalah kemurkaan Allah.

6. Ya Fathimah, apabila wanita mengandung, maka malaikat memohonkan ampunan baginya, dan Allah menetapkan baginya setiap hari seribu kebaikan serta melebur seribu kejelekan. Ketika wanita merasa sakit akan melahirkan, Allah menetapkan pahala baginya sama dengan pahala para pejuang di jalan Allah. Jika dia melahirkan kandungannya, maka bersihlah dosa-dosanya seperti ketika dia dilahirkan dari kandungan ibunya. Bila meninggal ketika melahirkan, maka dia tidak akan membawa dosa sedikitpun. Didalam kubur akan mendapat pertamanan indah yang merupakan bahagian dari taman syurga. Dan Allah memberikan pahala kepadanya sama dengan pahala seribu orang yang melaksanakan ibadah Haji dan Umrah, dan seribu malaikat memohonkan ampunan baginya hingga hari kiamat.


7. Ya Fathimah, tiadalah wanita yang melayani suami selama sehari semalam dengan rasa senang serta ikhlas, melainkan Allah mengampuni dosa-dosanya serta memakaikan pakaian padanya di hari kiamat berupa pakaian yang serba hijau, dan menetapkan baginya setiap rambut pada tubuhnya seribu kebaikan. Dan Allah memberikan kepadanya pahala seratus kali beribadah Haji dan Umrah.

8. Ya Fathimah, tiadalah wanita yang tersenyum di hadapan suami, melainkan Allah memandangnya dengan pandangan penuh kasih.

9. Ya Fathimah, tiadalah wanita yang membentangkan alas tidur untuk suami dengan rasa senang hati, melainkan para malaikat yang memanggil dari langit menyeru wanita itu agar menyaksikan pahala amalnya, dan Allah mengampuni dosa-dosanya yang telah lalu dan yang akan datang.

10. Begitu indah menjadi wanita, dengan kelembutan dan kasihnya dapat merubah dunia Jadikanlah diri-dirimu menjadi wanita solehah, agar negeri menjadi indah, kerana dirimu adalah tiang negeri ini.

BACA LAGI Read more...

KISAH PEMUDA BERIBU-BAPAKAN BABI

Nabi Musa adalah satu-satunya Nabi yang boleh bercakap terus dengan Allah S.W.T Setiap kali dia hendak bermunajat, Nabi Musa akan naik ke Bukit Tursina. Di atas bukit itulah dia akan bercakap dengan Allah.Nabi Musa sering bertanya dan Allah akan menjawab pada waktu itu juga. Inilah kelebihannya yang tidak ada pada nabi-nabi lain.

Suatu hari Nabi Musa telah bertanya kepada Allah. "Ya Allah, siapakah orang di syurga nanti yang akan berjiran dengan aku?". Allah pun menjawab dengan mengatakan nama orang itu, kampung serta tempat tinggalnya. Setelah mendapat jawapan, Nabi Musa turun dari Bukit Tursina dan terus berjalan mengikut tempat yang diberitahu. Setelah beberapa hari di dalam perjalanan akhirnya sampai juga Nabi Musa ke tempat berkenaan. Dengan pertolongan beberapa orang penduduk di situ, beliau berjaya bertemu dengan orang tersebut. Setelah memberi salam beliau dipersilakan masuk dan duduk di ruang tamu.

Tuan rumah itu tidak melayan Nabi Musa. Dia masuk ke dalam bilik dan melakukan sesuatu di dalam. Sebentar kemudian dia keluar sambil membawa seekor babi betina yang besar. Babi itu didukungnya dengan cermat. Nabi Musa terkejut melihatnya. "Apa hal ini?, kata Nabi Musa berbisik dalam hatinya penuh kehairanan. Babi itu dibersihkan dan dimandikan dengan baik. Setelah itu babi itu dilap sampai kering serta dipeluk cium kemudian dihantar semula ke dalam bilik.

Tidak lama kemudian dia keluar sekali lagi dengan membawa pula seekor babi jantan yang lebih besar. Babi itu juga dimandikan dan dibersihkan. Kemudian dilap hingga kering dan dipeluk serta cium dengan penuh kasih sayang. Babi itu kemudiannya dihantar semula ke bilik. Selesai kerjanya barulah dia melayan Nabi Musa. "Wahai saudara! Apa agama kamu?". "Aku agama Tauhid", jawab pemuda itu iaitu agama Islam. "Habis, mengapa kamu membela babi? Kita tidak boleh berbuat begitu." Kata Nabi Musa. "Wahai tuan hamba", kata pemuda itu. "Sebenarnya kedua babi itu adalah ibubapa kandungku.

Oleh kerana mereka telah melakukan dosa yang besar, Allah telah menukarkan rupa mereka menjadi babi yang hodohrupanya. Soal dosa mereka dengan Allah itu soal lain. Itu urusannya dengan Allah. Aku sebagai anaknya tetap melaksanakan kewajipanku sebagai anak. Hari-hari aku berbakti kepada kedua ibubapaku sepertimana yang tuan hamba lihat tadi. Walaupun rupa mereka sudah menajdi babi, aku tetap melaksanakan tugasku.", sambungnya. "Setiap hari aku berdoa kepada Allah agar mereka diampunkan. Aku bermohon supaya Allah menukarkan wajah mereka menjadi manusia yang sebenar, tetapi Allah masih belum memakbulkan lagi.", tambah pemuda itu lagi. Maka ketika itu juga Allah menurunkan wahyu kepada Nabi Musa a.s. 'Wahai Musa, inilah orang yang akan berjiran dengan kamu di Syurga nanti, hasil baktinya yang sangat tinggi kepada kedua ibubapanya. Ibubapanya yang sudah buruk dengan rupa babi pun dia berbakti juga. Oleh itu Kami naikkan maqamnya sebagai anak soleh disisi Kami." Allah juga berfirman lagi yang bermaksud : "Oleh kerana dia telah berada di maqam anak yang soleh disisi Kami, maka Kami angkat doanya. Tempat kedua ibubapanya yang Kami sediakan di dalam neraka telah Kami pindahkan ke dalam syurga." Itulah berkat anak yang soleh. Doa anak yang soleh dapat menebus dosa ibubapa yang akan masuk ke dalam neraka pindah ke syurga. Ini juga hendaklah dengan syarat dia berbakti kepada ibubapanya. Walaupun hingga ke peringkat rupa ayah dan ibunya seperti babi. Mudah-mudahan ibubapa kita mendapat tempat yang baik di akhirat kelak.

Walau bagaimana buruk sekali pun perangai kedua ibubapa kita itu bukan urusan kita, urusan kita ialah menjaga mereka dengan penuh kasih sayang sebagaimana mereka menjaga kita sewaktu kecil hingga dewasa. Walau banyak mana sekali pun dosa yang mereka lakukan, itu juga bukan urusan kita, urusan kita ialah meminta ampun kepada Allah S.W.T supaya kedua ibubapa kita diampuni Allah S.W.T. Doa anak yang soleh akan membantu kedua ibubapanya mendapat tempat yang baik di akhirat, inilah yang dinanti-nantikan oleh para ibubapa di alam kubur.Erti sayang seorang anak kepada ibu dan bapanya bukan melalui hantaran wang ringgit, tetapi sayang seorang anak pada kedua ibubapanya ialah dengan doanya supaya kedua ibubapanya mendapat tempat yang terbaik di sisi Allah.

BACA LAGI Read more...

KISAH 5 PERKARA ANEH


Abu Laits as-Samarqandi adalah seorang ahli fiqah yang masyur. Suatu ketika dia pernah berkata, ayahku menceritakan bahawa antara Nabi-Nabi yang bukan Rasul ada menerima wahyu dalam bentuk mimpi dan ada yang hanya mendengar suara.
Maka salah seorang Nabi yang menerima wahyu melalui mimpi itu, pada suatu malam bermimpi diperintahkan yang berbunyi, "Esok engkau dikehendaki keluar dari rumah pada waktu pagi menghala ke barat. Engkau dikehendaki berbuat:-

1. Apa yang engkau lihat (hadapi) maka makanlah.
2. Engkau sembunyikan.
3. Engkau terimalah.
4. Jangan engkau putuskan harapan.
5. Larilah engkau daripadanya.
Pada keesokan harinya, Nabi itu pun keluar dari rumahnya menuju ke barat dan kebetulan yang pertama dihadapinya ialah sebuah bukit besar berwarna hitam. Nabi kebingungan sambil berkata, "Aku diperintahkan memakan pertama aku hadapi, tapi sungguh aneh sesuatu yang mustahil yang tidak dapat dilaksanakan."Maka Nabi itu terus berjalan menuju ke bukit itu dengan hasrat untuk memakannya. Ketika dia menghampirinya, tiba-tiba bukit itu mengecilkan diri sehingga menjadi sebesar buku roti. Maka Nabi pun mengambilnya lalu disuapkan ke mulutnya. Bila ditelan terasa sungguh manis bagaikan madu. Dia pun mengucapkan syukur 'Alhamdulillah'.
Kemudian Nabi itu meneruskan perjalanannya lalu bertemu pula dengan sebuah mangkuk emas. Dia teringat akan arahan mimpinya supaya disembunyikan, lantas Nabi itu pun menggali sebuah lubang lalu ditanamkan mangkuk emas itu, kemudian ditinggalkannya. Tiba-tiba mangkuk emas itu terkeluar semula. Nabi itu pun menanamkannya semula sehingga tiga kali berturut-turut.
Maka berkatalah Nabi itu, "Aku telah melaksanakan perintahmu." Lalu dia pun meneruskan perjalanannya tanpa disedari oleh Nabi itu, mangkuk emas itu keluar semula dari tempat ia ditanam. Ketika dia sedang berjalan, tiba-tiba dia ternampak seekor burung helang sedang mengejar seekor burung kecil. Kemudian terdengarlah burung kecil itu berkata, "Wahai Nabi Allah, tolonglah aku."
Mendengar rayuan burung itu, hatinya merasa simpati lalu dia pun mengambil burung itu dan dimasukkan ke dalam bajunya. Melihatkan keadaan itu, lantas burung helang itu pun datang menghampiri Nabi itu sambil berkata, "Wahai Nabi Allah, aku sangat lapar dan aku mengejar burung itu sejak pagi tadi. Oleh itu janganlah engkau patahkan harapanku dari rezekiku." Nabi itu teringatkan pesanan arahan dalam mimpinya yang keempat, iaitu tidak boleh putuskan harapan. Dia menjadi kebingungan untukmenyelesaikan perkara itu. Akhirnya dia membuat keputusan untuk mengambil pedangnya lalu memotong sedikit daging pehanya dan diberikan kepada helang itu. Setelah mendapat daging itu, helang pun terbang dan burung kecil tadi dilepaskan dari dalam bajunya.
Selepas kejadian itu, Nabi meneruskan perjalananya. Tidak lama kemudian dia bertemu dengan satu bangkai yang amat busuk baunya, maka dia pun bergegas lari dari situ kerana tidak tahan menghidu bau yang menyakitkan hidungnya. Setelah menemui kelima-lima peristiwa itu, maka kembalilah Nabi ke rumahnya. Pada malam itu, Nabi pun berdoa. Dalam doanya dia berkata, "Ya Allah, aku telah pun melaksanakan perintah-Mu sebagaimana yang diberitahu di dalam mimpiku, maka jelaskanlah kepadaku erti semuanya ini."Dalam mimpi beliau telah diberitahu oleh Allah S.W.T. bahawa,
1. Engkau makan itu ialah marah. Pada mulanya nampak besar seperti bukit tetapi pada akhirnya jika bersabar dan dapat mengawal serta menahannya, maka marah itu punakan menjadi lebih manis daripada madu.
2. Semua amal kebaikan (budi), walaupun disembunyikan, maka ia tetap akan nampak jua.
3. Jika sudah menerima amanah seseorang, maka janganlah kamu khianat kepadanya.
4. Jika orang meminta kepadamu, maka usahakanlah untuknya demi membantu kepadanya meskipun kau sendiri berhajat.
5. Bau yang busuk itu ialah ghibah (menceritakan hal seseorang). Maka larilah dari orang-orang yang sedang duduk berkumpul membuat ghibah.
"Saudara-saudaraku, kelima-lima kisah ini hendaklah kita semaikan dalam diri kita, sebab kelima-lima perkara ini sentiasa sahaja berlaku dalam kehidupan kita sehari-hari. Perkara yang tidak dapat kita elakkan setiap hari ialah mengata hal orang, memang menjadi tabiat seseorang itu suka mengata hal orang lain. Haruslah kita ingat bahawa kata-mengata hal seseorang itu akan menghilangkan pahala kita, sebab ada sebuah hadis mengatakan di akhirat nanti ada seorang hamba Allah akan terkejut melihat pahala yang tidak pernah dikerjakannya. Lalu dia bertanya, "Wahai Allah, sesungguhnya pahala yang Kamu berikan ini tidak pernah aku kerjakan di dunia dulu." Maka berkata Allah S.W.T., "Ini adalah pahala orang yang mengata-ngata tentang dirimu." Dengan ini haruslah kita sedar bahawa walaupun apa yang kita kata itu memang benar, tetapi kata-mengata itu akan merugikan diri kita sendiri. Oleh kerana itu, hendaklah kita jangan mengata hal orang walaupun ia benar.

BACA LAGI Read more...

FALSAFAH PENDIDIKAN NEGARA

" Pendidikan di Malaysia adalah satu usaha berterusan ke arah memperkembangankan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi, dan jasmani berdasarkan kepada kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara."

MUTIARA KATA

" Orang yang bahagia itu akan selalu menyediakan waktu untuk membaca kerana membaca itu sumber hikmah menyediakan waktu tertawa kerana tertawa itu muziknya jiwa, menyediakan waktu untuk berfikir kerana berfikir itu pokok kemajuan,menyediakan waktu untuk beramal kerana beramal itu pangkal kejayaan, menyediakan waktu untuk bersenda kerana bersenda itu akan membuat muda selaludan menyediakan waktu beribadat kerana beribadat itu adalah ibu dari segala ketenangan jiwa."

DENGAR ALQURAN

FALSAFAH PENDIDIKAN ISLAM

" Pendidikan Islam adalah satu usaha berterusan untuk menyampaikan ilmu, kemahiran dan penghayatan Islam berdasarkan Al-Quran dan As-Sunnah bagi membentuk sikap, kemahiran, keperibadian dan pandangan hidup sebagai hamba Allah yang mempunyai tanggungjawab untuk membangun diri, masyarakat, alam sekitar dan negara ke arah mencapai kebaikan di dunia dan kesejahteraan abadi di akhirat."

Followers

SEMAK PRODUK HALAL

TETAMU KAMI

PENAFIAN

© 2010 BLOG J-QAF SK KUALA KURAU, Hakcipta Terpelihara. Semua tulisan, pendapat, komen dan foto yang ada di blog ini adalah kepunyaan J-QAF SK KUALA KURAU melainkan dinyatakan sebaliknya. PIHAK JQAF SK KUALA KURAU tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang kehilangan atau kerosakan yang diakibatkan oleh penggunaan maklumat yang diperolehi daripada blog ini.

© 2010 BLOG J-QAF SK KUALA KURAU, Hakcipta Terpelihara. The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP