GURU JQAF KURANG 14,000
KUALA LUMPUR 5 April - Kementerian Pelajaran sedang mencari kaedah untuk mengatasi masalah kekurangan guru j-QAF yang masih memerlukan 14,000 orang lagi dalam memantapkan pelaksanaan modul pembelajaran tersebut.
Timbalan Menterinya, Datuk Dr. Wee Ka Siong berkata, kekosongan itu perlu diisi memandangkan kementerian merancang untuk memperluaskan j-QAF ke sekolah menengah.
''Dalam j-QAF, salah satu komponen penting adalah tulisan jawi dan ia asas untuk menjayakan program tersebut. Sebab itu ia disusun atur untuk sekolah rendah. Kita mahu pelaksanaan j-QAF disempurnakan terlebih dahulu di sekolah rendah sebelum diperluas di peringkat sekolah menengah.
''Tetapi, ketika ini, ada kekosongan 14,000 orang guru untuk mengajar j-QAF. Oleh itu, kita sedang mencari kaedah untuk mengatasi masalah tersebut," katanya di Dewan Rakyat di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Hamim Samuri (BN-Ledang) yang ingin tahu sejauh mana ukuran penguasaan tulisan jawi di kalangan pelajar melalui j-QAF.
Ujar Ka Siong, bagi membolehkan j-QAF diperluas ke sekolah menengah, kementerian sudah mempunyai kerangka khusus yang lengkap.
Mengenai soalan tambahan Datuk Taib Azamudden Md. Taib (Pas-Baling) yang ingin tahu kebenaran bahawa terdapat guru j-QAF yang tidak dibayar elaun selepas diarah bertugas di luar waktu pembelajaran untuk mengendalikan kelas Bestari Solat, katanya, kementerian tidak pernah mengabaikan kebajikan guru j-QAF.
''Apabila kita berdepan dengan kekurangan guru, sebab itu kita minta sedikit pengorbanan mereka. Dari segi kebajikan kita tak abaikan. Ini tugas yang patut dilakukan oleh guru j-QAF," jelasnya.
Terdahulu, menjawab soalan asal Hamim yang meminta kementerian menyatakan sejauh mana j-QAF telah berjaya mendidik murid sekolah menguasai tulisan jawi, Ka Siong memberitahu program tersebut telah dapat meningkatkan penguasaan murid bukan sahaja dalam jawi malah dalam bacaan al-Quran, bahasa Arab serta Fardhu Ain.
Menurut beliau, laporan kajian pelaksanaan menunjukkan penguasaan murid dalam tulisan jawi adalah sebanyak 92.12 peratus; al-Quran (99.1 peratus); bahasa Arab (84.71 peratus) dan Bestari Solat (99.39 peratus).
Atas dasar itu, tambahnya, program j-QAF wajar dilanjutkan ke sekolah menengah kerana bukan sahaja memberi kefahaman yang mendalam tetapi dapat meningkatkan penghayatan pelajar yang dijelmakan dalam amalan seharian.