-->

TIDAK PERLU SEKOLAH KHAS PELAJAR BERMASALAh

BENTONG 28 Mac - Kerajaan tidak bercadang menubuhkan sekolah khas bagi menempatkan pelajar bermasalah sebagai langkah mengatasi kemelut disiplin membabitkan golongan itu, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menurutnya, jalan penyelesaian kepada masalah disiplin pelajar tidak boleh ditangani melalui penubuhan sekolah khas, sebaliknya sokongan semua pihak untuk memainkan peranan masing-masing bagi mendidik dan menyedarkan mereka.

"Kita tidak memerlukan sekolah khas bagi menempatkan pelajar yang dibuang sekolah ekoran masalah disiplin kerana ia tidak menyelesaikan masalah untuk jangka masa panjang.

"Paling penting semua pihak terutama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta pihak pengurusan sekolah duduk bersama berbincang cara untuk memberi kesedaran kepada mereka,'' katanya.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata demikian semasa sesi soal jawab sempena majlis penutup Konvensyen PIBG Kebangsaan 2010 di Institut Aminuddin Baki di Genting Hinglands di sini hari ini.

Mengulas lanjut Timbalan Perdana Menteri berkata, pihaknya memandang serius masalah disiplin yang melanda pelajar sekarang walaupun jumlahnya hanya satu peratus.

Kata beliau, walaupun dari segi peratusan ia adalah kecil, tetapi jumlah sebenar pelajar yang terbabit dengan masalah disiplin kini mencecah puluhan ribu orang.

''Ini yang membimbangkan kerana jika tidak dibendung ia akan menjalar sehingga mampu menjejaskan institusi pendidikan negara. Usaha menyedarkan pelajar bukan tanggungjawab guru semata-mata, ia harus dipikul oleh semua,'' katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, PIBG perlu berunding dengan ibu bapa sebelum membuat sebarang keputusan dalam mesyuarat bagi mengelakkan perkara berbangkit.

Menurutnya, perbincangan itu tidak semestinya secara formal tetapi yang penting mampu memberi gambaran kepada PIBG sama ada ibu bapa setuju atau tidak dengan perkara yang hendak diputuskan.

'Terdahulu dalam ucapannya Muhyiddin berkata, PIBG berperanan memberi sumbangan besar kepada sistem pendidikan negara kerana pencapaian dan kejayaan anak-anak di sekolah turut bergantung kepada ibu bapa.

Katanya PIBG ditubuhkan atas peruntukan undang-undang dan bukannya sekadar satu inisiatif atau kehendak ibu bapa.

''Soal pendidikan penting dan perlu diberi perhatian utama bukan sahaja oleh pimpinan negara tetapi ibu bapa. Pencapaian anak-anak kita di sekolah ada hubung kait dengan peranan yang disumbangkan oleh PIBG di seluruh negara,'' katanya.

(sumber: utusan malaysia)

BACA LAGI Read more...

JADIKAN ANAK SEBAGAI AMANAH

SEBAGAI manusia yang normal akal fikiran dan perasaan, membaca dan melihat laporan akhbar mengenai anak yang anak kecil didera dan diperlakukan secara kejam sememangnya membangkitkan kemarahan yang meluap-luap kepada si pendera.

Soalan yang pasti timbul di dalam sanubari kita ialah mengapakah ada manusia sanggup memperlakukan anak sekejam itu? Tidak kasihankah dengan anak kecil yang tidak berdosa itu? Dan bermacam-macam lagi persoalan yang bermain dalam hati sehinggakan ada antara kita menganggap si pendera seumpama berhati haiwan.

Sekurang-kurangnya haiwan pun sayangkan anak mereka, dijaga dan ditatang sehingga anak mampu berdikari. Inikan pula manusia yang dianugerahkan akal dan hati untuk berfikir dan merasa.

Inilah natijahnya apabila hati dan nafsu tidak mampu bersabar mengekang perasaan amarah dan akal tidak mampu membezakan kebenaran dan kebatilan. Apabila anak-anak tidak dianggap sebagai amanah yang perlu dijaga sebaik- baiknya, maka banyaklah kerosakan yang berlaku yang bakal berlaku.

Anak sebagai amanah, bukan sekadar anugerah

Sudah banyak kali kita membincangkan tentang peri pentingnya memelihara anak seperti permata. Anak-anak kecil sememang tidak bersalah kerana mereka masih tidak matang dan tidak mampu mengawal emosi mereka.

Orang dewasalah yang sepatutnya mengemudi anak-anak mereka dengan tingkah laku yang baik supaya anak-anak membesar dengan binaan sikap, pendirian dan emosi yang teguh apabila menjejak alam remaja dan dewasa.

Peringatan seperti ini sememangnya perlu diulang-ulang bagi menyedarkan golongan dewasa dan ibu bapa.

Mungkin sesetengah ibu bapa lupa bahawa anak itu adalah amanah Allah yang tidak ternilai harganya. Ramai yang tidak mempunyai anak sangat kepinginkan cahaya mata lalu pelbagai cara diusahakan untuk mendapat anak. Ada pula apabila sudah mempunyai cahaya mata, tidak menjaga dan mendidik anak dengan betul dan sempurna.

Mendidik dalam erti kata mestilah mengajar anak akan nilai asas dalam kehidupan, melimpahkan kasih sayang yang sewajarnya kepada anak-anak, membina kekebalan diri anak-anak dari anasir-anasir tidak baik. Mengajar anak akan yang salah dan benar, serta memberi panduan dan pedoman berterusan agar anak membesar menjadi insan yang beriman dan teguh pendirian.

Sememangnya ia tidaklah semudah seperti yang disebutkan. Namun itulah hakikat tanggungjawab ibu bapa terhadap anak-anak. Mendekati remaja menerusi pendidikan perlu bermula pada awal umur lagi.

Jangka waktu yang paling kritikal bagi anak-anak mencapai tahap remaja ialah sejak lahir sehingga ke peringkat akil baligh. Akil baligh merupakan puncak suatu proses membentuk manusia yang sudah boleh berdiri atas kaki sendiri.

Di peringkat inilah perkembangan kognitif (akal-fikir) berlaku dengan subur yang membolehkan anak-anak membuat tanggapan terhadap sesuatu.

Ajaran Islam umumnya tidak menghalang ibu bapa menghukum anak-anak, tetapi mestilah bersifat mendidik, tidak didorong perasaan amarah dan tidak melampaui batas syarak dan kemanusiaan.

Ini kerana trauma daripada zaman malang kanak-kanak boleh menghantui alam remaja serta dewasa seseorang dan lukanya sukar disembuhkan. Ada juga anak-anak yang membesar dengan kejadian dera dan pengabaian menjadi seorang yang agresif, sangat ofensif, serta tidak boleh menerima pendapat orang lain.

Anak-anak bukan sahaja anugerah yang tidak ternilai daripada Allah, malah mereka adalah amanah yang perlu dipelihara sebaik-baiknya. Mereka perlu dididik supaya sentiasa kembali dan berdamping ke jalan Allah dan pangkuan keluarga, sekalipun ada membuat kesalahan agar proses pembaikan boleh berlaku.

Oleh itu, tanggungjawab ibu bapa berjalan sepanjang hayat mereka, bukannya melepaskan tanggungjawab itu kepada pihak lain seperti sekolah atau penjaga.

Ada pula yang menganggap anak-anak sudah pandai berfikir sendiri akan baik buruk sesuatu perkara dan secara mudah menyalahkan anak-anak sekiranya berbuat salah. Walhal ibu ayah sendiri tidak membekalkan anak-anak dengan nilai-nilai asas dalam kehidupan dan didikan agama yang mencukupi.

Watak ibu dan ayah saling melengkapi

Justeru peranan ibu dan ayah amatlah penting dalam pembentukan watak dan pendirian anak. Ibu sering dirujuk sebagai faktor penting dalam pendidikan.

Bapa juga tidak kurang penting membentuk anak dalam kepemimpinan. Bapa adalah lambang ketua dalam sebuah rumah tangga. Didikan ibu dan kepemimpinan bapa boleh memberi perlindungan kepada isteri dan contoh kepada anak.

Pada diri seorang ibu ada unsur penting dalam proses didik, asuhan, kasih sayang, kesabaran dan memiliki kasih sejati terhadap anak. Allah telah memberikan kekuatan dan kesabaran yang tinggi kepada wanita yang bergelar ibu untuk menanggung kesusahan dan kepayahan demi anaknya.

Masakan tidak, seorang ibu sanggup melalui tempoh mengandung dengan susah payah sehinggalah melahirkan anak dalam kesakitan dan kepedihan. Ibu jugalah yang penat berjaga malam untuk menyusu dan menyalin lampin anak, dan bersengkang mata sekiranya anak kurang sihat.

Naluri seorang ibu sememangnya berkehendakkan anaknya sentiasa dalam keadaan sihat dan sempurna.

Ibu adalah pelengkap kepada watak bapa. Ia menjadi faktor penting dalam proses pembangunan zuriat, anak dan generasi. Ibu yang berilmu dan berketerampilan memahami proses pertumbuhan dan pembesaran anak baik dari sudut minda, psikologi, emosi dan tabiat, serta memiliki cara dan kaedah berkesan bagaimana anak harus 'diremaja' dan 'didewasakan'.

Begitu juga dengan si ayah. Menjadi seorang ayah adalah peranan yang payah. Menjadi seorang ayah tidaklah bererti memonopoli segala hak dan tanggungjawab, tetapi dikongsi dan dilalui bersama-sama secara sukarela dan penuh faham tanggungjawab.

Watak ayah tidak sama dengan watak ibu, tetapi Allah menjadikan mereka berpasang-pasang untuk melakukan peranan saling melengkapi.

Dalam masa yang sama, ayah harus berasakan bahawa ibu adalah amanah Allah yang besar. Ibu juga perlu dikasihi dan disayangi. Semangat kebapaan memberi perlindungan, tunjuk ajar, bimbingan dan rasa persefahaman dengan ibu. Ia bakal mewujudkan suasana rumah tangga harmoni dan damai dan memberi contoh yang baik kepada proses pendewasaan anak-anak.

Sekiranya pertumbuhan dan kesuburan yang sedang berlaku kepada anak-anak tidak didekati dengan ilmu dan keterampilan menerusi watak keibuan dan kebapaan nescaya pembesaran anak-anak bakal mengalami kelompangan yang mudah dimasuki oleh unsur-unsur negatif.

Ilmulah yang mampu memberi kekuatan kepada anak-anak supaya apabila besar nanti ia tidak menyebabkan lahirnya kecelaruan di kalangan mereka.

Oleh itu, anak perlu dipedomankan sekiranya berbuat salah, bukannya menghukum sesuka hati apatah lagi mendera dan mengasari mereka tanpa belas kasihan.

Kesimpulan

Bergelar ayah dan ibu adalah nikmat Allah yang tidak ternilai kepada manusia. Bagi mereka yang mengetahuinya, amatlah besar ganjaran yang bakal diperolehi jika menjaga dan mendidik anak-anak dengan sesempurna mungkin.

Tidak dinafikan bahawa kerosakan yang terjadi dewasa ini kebanyakannya berpunca daripada keruntuhan institusi kekeluargaan, ceteknya didikan agama dan moral serta dan kurangnya sikap kepedulian sesama kita.

Tuntasnya, tanggungjawab seorang ibu dan ayah adalah tanggungjawab seumur hidup. Anak-anak kadangkala tergelincir daripada landasan, maka ibu bapalah yang perlu sentiasa mengawasi dan menasihati mereka supaya jalinan corak kehidupan anak-anak menjadi kembali teratur dan harmoni.

(sumber : Utusan Malaysia)

BACA LAGI Read more...

HATI-HATI MEMILIH MINUMAN KESIHATAN.


JERLUN - Seorang pengusaha di sini berjaya memperdayakan ribuan pengguna sejak tiga tahun lalu dengan menghasilkan produk minuman penyejuk badan yang sebenarnya diperbuat daripada air paip.

Teknik penghasilan produk itu amat mudah iaitu menggunakan air paip yang ditapis sebelum dicampur dengan sejenis bahan yang belum dikenal pasti dan dijual dengan harga RM1 sebotol.

Kegiatan pengusaha itu bagaimanapun dihidu pihak berkuasa sebelum premisnya di Jalan Alor Setar-Kangar di sini diserbu oleh lapan kakitangan Jabatan Kesihatan Daerah Kubang Pasu semalam.

Hasil siasatan mereka mendapati produk itu juga tidak mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan.

Ketua Penolong Pegawai Kesihatan Dae- rah Kubang Pasu, Md. Hussain Lebai Yusof berkata, produk itu bukan minuman kesi- hatan tetapi hanya air minuman berasaskan air paip.
(sumber : KOSMO )

BACA LAGI Read more...

GURU DI BERI INSENTIF

TANJUNG MALIM 6 Mac – Semua pengetua, guru besar dan guru yang berupaya meningkatkan pencapaian sekolah dari semasa ke semasa akan diberi pelbagai insentif termasuk kenaikan pangkat mulai tahun depan, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata, pemberian tersebut perlu diberikan secara menyeluruh kerana kejayaan sesebuah sekolah bukan hanya bergantung kepada seorang pengetua atau guru besar tetapi membabitkan kerjasama semua guru.

Beliau berkata, maklumat terperinci berhubung pelaksanaan insentif baru menerusi Pelan Menambah Baik Sekolah-Sekolah itu akan diumumkan pada 16 Mei ini.

“Kalau mereka menunjukkan kecemerlangan tak kira di bandar atau luar bandar, ikut ukuran apa yang kita sebut kumpulan-kumpulan tertentu.

“Tetapi kalau meningkat sedikit pun (cemerlang) kita akan bagi juga imbuhan kepada guru besar, pengetua dan guru-guru di sekolah itu.

“Maknanya, bukan hanya bagi pengetua atau guru besar tetapi kepada semuanya, kerana kita iktiraf peranan itu bukan hanya dimainkan oleh seorang pemimpin dalam sekolah, sebaliknya semua guru mesti bekerja sama. Kalau (sekolah) meningkat, semua dapat kredit,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Program Juara Rakyat Peringkat Negeri Perak di Slim River dekat sini hari ini.

Hadir sama pada majlis itu ialah isteri Timbalan Perdana Menteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman; Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir, pemimpin-pemimpin Barisan Nasional (BN) Pusat dan negeri Perak.

Muhyiddin berkata, pemberian insentif tersebut adalah sebagai galakan kepada pihak sekolah tanpa mengira sama ada ia sekolah bandar atau luar bandar untuk bekerjasama dalam mencapai kecemerlangan.

“Kita boleh melihat kalau di sekolah itu ada kepimpinan yang baik, walaupun tidak mendapat peruntukan tetapi mampu meningkatkan pencapaian, maka ia akan diberi penilaian dan akan diiktiraf,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, kerajaan akan memberi geran pelancaran kepada pihak swasta yang membuka kelas-kelas prasekolah di negara ini.

Langkah tersebut, katanya, bagi menjayakan matlamat memastikan 87 peratus kanak-kanak yang akan memasuki alam persekolahan dalam tempoh tiga tahun lagi mempunyai pendidikan asas.

Selain itu, jelas beliau, kementerian juga akan menampung kos melatih guru-guru yang ditempatkan di prasekolah terbabit.

Terdahulu, dalam pertemuannya dengan warga pendidik di Politeknik Sultan Azlan Shah (Polisas) Behrang, Muhyiddin mahu guru-guru berusaha bersungguh-sungguh ke arah mencapai kecemerlangan pendidikan.

Beliau berkata, langkah kementerian memperkenalkan Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) adalah sebagai persediaan untuk melonjakkan lagi bidang pendidikan negara ke peringkat yang lebih tinggi.

“Kita minta guru-guru bersama-sama membantu mencapai matlamat Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang disasarkan kerana kita tidak mahu juara kampung tetapi yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa.

“Kalau guru-guru bersemangat meningkatkan pencapaian murid-murid dan para pelajar, langkah-langkah ini akan diiktiraf oleh pihak kementerian dan juga layak untuk mendapat imbuhan insentif tahun depan,” katanya.

Sumber : Utusan Malaysia

BACA LAGI Read more...

HAIWAN DI PLANET MARIKH ???.....



LONDON - Adakah terdapat seekor gorila raksasa berbulu kelabu di planet Marikh?

Menurut sebuah akhbar semalam, beberapa peminat fanatik angkasa lepas mempunyai pendapat seperti itu selepas melihat gambar yang dihantar oleh sebuah robot kenderaan milik Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) dari Marikh ke bumi.

Seorang peminat angkasa lepas, Nigel Cooper yang mengkaji beribu-ribu gambar yang dirakamkan oleh sebuah robot milik NASA, telah mengemukakan pandangannya di Internet dan berkata: "Ia (gambar mirip gorila) seperti satu makhluk."

Cooper yang berusia 43 tahun dari bandar Grimsby, England kemudian menegaskan: "Saya yakin ada kehidupan di sana (Marikh)." - (KOSMO)

BACA LAGI Read more...

FALSAFAH PENDIDIKAN NEGARA

" Pendidikan di Malaysia adalah satu usaha berterusan ke arah memperkembangankan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi, dan jasmani berdasarkan kepada kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara."

MUTIARA KATA

" Orang yang bahagia itu akan selalu menyediakan waktu untuk membaca kerana membaca itu sumber hikmah menyediakan waktu tertawa kerana tertawa itu muziknya jiwa, menyediakan waktu untuk berfikir kerana berfikir itu pokok kemajuan,menyediakan waktu untuk beramal kerana beramal itu pangkal kejayaan, menyediakan waktu untuk bersenda kerana bersenda itu akan membuat muda selaludan menyediakan waktu beribadat kerana beribadat itu adalah ibu dari segala ketenangan jiwa."

DENGAR ALQURAN

FALSAFAH PENDIDIKAN ISLAM

" Pendidikan Islam adalah satu usaha berterusan untuk menyampaikan ilmu, kemahiran dan penghayatan Islam berdasarkan Al-Quran dan As-Sunnah bagi membentuk sikap, kemahiran, keperibadian dan pandangan hidup sebagai hamba Allah yang mempunyai tanggungjawab untuk membangun diri, masyarakat, alam sekitar dan negara ke arah mencapai kebaikan di dunia dan kesejahteraan abadi di akhirat."

Followers

SEMAK PRODUK HALAL

TETAMU KAMI

PENAFIAN

© 2010 BLOG J-QAF SK KUALA KURAU, Hakcipta Terpelihara. Semua tulisan, pendapat, komen dan foto yang ada di blog ini adalah kepunyaan J-QAF SK KUALA KURAU melainkan dinyatakan sebaliknya. PIHAK JQAF SK KUALA KURAU tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang kehilangan atau kerosakan yang diakibatkan oleh penggunaan maklumat yang diperolehi daripada blog ini.

© 2010 BLOG J-QAF SK KUALA KURAU, Hakcipta Terpelihara. The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP