Bahasa Arab popular di Amerika
WASHINGTON 8 Dis. - Bahasa Arab menjadi bahasa asing paling berkembang dan diminati di kalangan pelajar universiti di Amerika Syarikat (AS) dengan jumlah pelajar mendaftar mengikuti kursus bahasa itu meningkat lebih 46 peratus pada tahun lalu berbanding 2006, menurut satu kajian yang dikeluarkan hari ini.
Selepas bahasa Inggeris, bahasa Arab berada di tangga kelapan mengatasi bahasa Latin dan Rusia paling diminati di kalangan pelajar AS, bahasa yang telah 22 kali disusun oleh Persatuan Bahasa Moden (MLA) sejak 1958.
Bahasa lain yang mencatat peningkatan berganda ialah bahasa Korea yang meningkat lebih 19 peratus, China (18.2 peratus), bahasa isyarat Amerika (16.4 peratus) dan bahasa Portugis (11 peratus).
Tetapi bahasa Sepanyol kekal menjadi bahasa popular di kalangan pelajar universiti AS selepas bahasa Inggeris dengan 865,000 pelajar mendaftar mengikuti pengajian bahas itu, meningkat lima peratus sejak 2006.
Ia diikuti bahasa Perancis dengan pendaftaran pelajar berjumlah 216,000 orang, meningkat lima peratus dan Jerman dengan 96,000 pelajar, meningkat kira-kira dua peratus berbanding 2006.
Pelajar yang mendaftar mengikuti bahasa Rusia pula meningkat dari 24,000 pada 1980 kepada hampir 45,000 orang pada 1990 ketika Kesatuan Soviet berpecah.
Lima tahun kemudian, jumlah pelajar yang mengikuti bahasa Rusia kembali merosot kepada kira-kira 25,000 orang.
Jumlah pelajar yang mendaftar kursus bahasa Arab telah meningkat daripada 5,500 pada 1998 - ketika al-Qaeda mengaku mengebom Kedutaan AS di Nairobi dan Dar-es-Salaam yang mengorbankan ratusan jiwa, melonjak kepada 10,584 orang pada 2002, setahun sebelum Amerika mengetuai penaklukan ke atas Iraq, dan jumlah itu terus meningkat tahun ini kepada 35,000 pelajar.
Kajian itu dibuat berdasarkan pendaftaran kelas bahasa di 2,514 kolej dan universiti di AS yang mewakili 99 peratus institusi pengajian tinggi yang menawarkan pengajian bahasa di negara ini, kata laporan tersebut.
sumber : Utusan Malaysia