-->

HUFFAZ AL-QURAN MELAHIRKAN PELAJAR CEMERLANG

KALAU beberapa dekad dahulu, memiliki kemampuan menghafaz 30 juzuk al-Quran dan kemudian beralih menguasai bidang profesional lain kedengaran seperti suatu yang jarang berlaku.

Namun hakikatnya, sejarah telah membuktikan bahawa keunggulan peribadi ulama terdahulu yang menghafal al-Quran dan pada masa yang sama menguasai pelbagai cabang ilmu, wajar dijadikan idola oleh semua masyarakat Islam pada hari ini.

Ungkapan berbunyi, “Ada ke masa depan dalam bidang hafazan ini?”, “Tamat belajar nanti pun tidak ke mana...” dan “Paling tidakpun, jadi ustaz atau ustazah...”, seharusnya tidak wujud lagi.

Kebelakangan ini, telah nampak satu perubahan yang cukup luar biasa daripada semua pihak dalam usaha memartabatkan pendidikan tahfiz di negara ini.

Kerajaan sentiasa memainkan peranan penting bagi memastikan institusi al-Quran terus berkembang dan memberi manfaat kepada masyarakat Islam.

Ini termasuk dengan memberi bantuan-bantuan yang diperlukan bagi menjalankan program-program yang berkaitan tahfiz al-Quran.

Malah kecenderungan ibu bapa menghantar anak-anak mereka ke maahad-maahad tahfiz semakin menjadi trend masyarakat hari ini.

Ini menunjukkan masyarakat kita telah diberi pendedahan tentang prospek cerah pendidikan al-Quran, di samping kesedaran masyarakat yang semakin meningkat terhadap kepentingan

pendidikan al-Quran.

Imam Besar Masjid Negara, Tan Sri Sheikh Ismail Muhammad, 66, adalah antara lapan orang generasi pertama yang yang dihasilkan oleh Darul Quran (DQ), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), kira-kira 44 tahun lalu.

“Pada masa itu tahun 1966, keadaan belajar waktu itu jauh berbeza berbanding zaman sekarang.

“Saya masuk tahfiz disebabkan latar belakang keluarga yang susah di mana ayah dulu hanya bekerja sebagai penoreh getah.

“Selepas belajar sekolah Melayu saya layak ke sekolah beraliran agama dan kebetulan mendapat biasiswa yang membolehkan saya boleh meneruskan pelajaran.

“Duit itulah saya guna untuk menampung pengajian serta membantu keluarga di kampung di samping duit daripada zakat.

“Cabaran zaman itu, bidang tahfiz tidak ada orang hendak masuk kerana tidak nampak masa depannya. Kedua, ia adalah satu kursus yang baru, jadi tidak ada sesiapa yang boleh dijadikan rujukan, idola atau contoh tauladan.

“Jadi semangat dan pendorong saya ialah dengan keazaman mahu keluar daripada kepompongan kemiskinan,” kata Sheikh Ismail mengimbau kenangan ketika berusia 16 tahun.

Menurut Sheikh Ismail, beliau berjaya menamatkan pengajian dalam tempoh dua setengah tahun sekali gus memiliki Sijil Tahfiz al-Quran.

Pada 1982 beliau telah diberi kepercayaan mengasaskan Sekolah Tahfiz al-Quran di Negeri Terengganu seterusnya dilantik sebagai pengetua selama 10 tahun.

“Kemudian pada tahun 1992 saya diminta oleh Kerajaan Brunei untuk menubuhkan sekolah tahfiz di sana. Ketika itu saya sudah nampak ramai para hafiz dan hafizah ini turut berjaya dalam profesion moden lain.

“Tidak seperti di zaman saya dahulu. Ketika itu orang yang mengambil pelajaran agama dipandang kelas kedua berbanding dengan sekolah beraliran Inggeris,” jelas anak kedua daripada tiga adik-beradik kelahiran Dungun, Terengganu ini.

Beliau yang mula berkhidmat di Masjid Negara pada 2004 menegaskan, Sabda Rasulullah SAW hadis riwayat al-Tirmizi yang bermaksud: “Sesungguhnya sesiapa yang tidak terdapat pada kerongkongnya sesuatu daripada al-Quran (tidak membaca) maka ia seperti rumah yang usang.”

Justeru, masyarakat kena faham bahawa orang yang hafaz ini diasuh dengan ingatan.

Malah budaya sebegini telah lama sebati dalam kehidupan masyarakat Arab yang mana seawal usia tujuh lapan tahun, anak-anak ini telah mula menghafaz.

“Hafaz ketika kecil seperti ukir di batu tetapi hafaz ketika dewasa, ia umpama ukir di atas air. Ini bukanlah tidak boleh tetapi agak sukar sedikit. Malah jika kanak-kanak ini telah dididik dan diterapkan al-Quran dalam dada sejak kecil, mustahil mereka akan melakukan perkara-perkara yang ditegah oleh agama,” jelasnya.

Kata Sheikh Ismail lagi, di Mesir, latar belakang pelajar yang cemerlang, kebanyakan mereka adalah hafaz al-Quran.

Manakala di India pula, mereka akan memastikan sekurang-kurangnya seorang anak dalam keluarga mestilah bergelar hafiz atau hafizah.

“Alangkah, baiknya jika perkara sebegini juga dijadikan budaya di kalangan masyarakat Islam kita,” saran beliau.
sumber : bernama

FALSAFAH PENDIDIKAN NEGARA

" Pendidikan di Malaysia adalah satu usaha berterusan ke arah memperkembangankan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi, dan jasmani berdasarkan kepada kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara."

MUTIARA KATA

" Orang yang bahagia itu akan selalu menyediakan waktu untuk membaca kerana membaca itu sumber hikmah menyediakan waktu tertawa kerana tertawa itu muziknya jiwa, menyediakan waktu untuk berfikir kerana berfikir itu pokok kemajuan,menyediakan waktu untuk beramal kerana beramal itu pangkal kejayaan, menyediakan waktu untuk bersenda kerana bersenda itu akan membuat muda selaludan menyediakan waktu beribadat kerana beribadat itu adalah ibu dari segala ketenangan jiwa."

DENGAR ALQURAN

FALSAFAH PENDIDIKAN ISLAM

" Pendidikan Islam adalah satu usaha berterusan untuk menyampaikan ilmu, kemahiran dan penghayatan Islam berdasarkan Al-Quran dan As-Sunnah bagi membentuk sikap, kemahiran, keperibadian dan pandangan hidup sebagai hamba Allah yang mempunyai tanggungjawab untuk membangun diri, masyarakat, alam sekitar dan negara ke arah mencapai kebaikan di dunia dan kesejahteraan abadi di akhirat."

Followers

SEMAK PRODUK HALAL

TETAMU KAMI

PENAFIAN

© 2010 BLOG J-QAF SK KUALA KURAU, Hakcipta Terpelihara. Semua tulisan, pendapat, komen dan foto yang ada di blog ini adalah kepunyaan J-QAF SK KUALA KURAU melainkan dinyatakan sebaliknya. PIHAK JQAF SK KUALA KURAU tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang kehilangan atau kerosakan yang diakibatkan oleh penggunaan maklumat yang diperolehi daripada blog ini.

© 2010 BLOG J-QAF SK KUALA KURAU, Hakcipta Terpelihara. The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP